Pandanganku
berpinar-pinar dan kabur. Kepalaku terasa berat dan berdenyut-denyut. Suasana
di sekeliling juga terasa asing dan membingungkan. Suara-suara sekeliling
kedengaran timbul tenggelam. Aku cuba membuka mata. Silauan cahaya yang
memedihkan mata menyebabkan aku memejamkan kembali mataku. Aku cuba untuk kali
kedua. Wajah Umi menjadi tatapan pertamaku. Aku cuba menggapai tangan umi. Badanku
terasa lemah. Segala sendi-sendiku terasa sakit. Aku tidak mampu mengangkat
kepala.
“Mana
abang Syafik umi? Mana abang Syafik..?”
“Jangan
banyak bergerak nak,” pujuk umi lembut. Kulihat matanya merah dan bengkak.
Mungkin baru lepas menangis. Umi cuba mengukir senyuman. Tangannya membelai
rambutku.
“Mana
abang Syafik, umi..?” Tanyaku lagi. Kulihat dia tiada di sisiku. Abah, umi,
abang Norman, Puan Aisyah dan Uncle Lim memandangku sayu. Puan Aisyah memandang
ke arah lain dan mengesat air matanya. Kulihat matanya juga sembab.
“Syukurlah
kau dah sedar Intan,” pujuk abah pula.
“Kenapa
dengan Intan Umi, abah?” Aku hairan dengan keadaan diriku lebih-lebih lagi
setelah aku perasan di mana aku berada kini. Katil hospital dan kelibat
jururawat yang melintas dari luar bilik aku di tempatkan menyebabkan hatiku
menjadi walang melihat sekelilingku tanpa kehadiran tunangku.
“Kau
selamat nak. Kau kemalangan,” tutur abah sayu.
“Kemalangan?
Mana abang Syafik, umi?” Mataku meliar apabila melihat Syafik tiada bersama
mereka. Aku khuatir sesuatu menimpa Syafik. Suasana di bilik itu sunyi sepi.
Hanya bunyi mesin monitor denyutan jantungku jelas kedengaran. Aku memandang
wajah Puan Aisyah.
“Ibu,
mana abang Syafik?”
Bakal
mertuaku itu berubah wajah. Air matanya mengalir laju. Hatiku mengatakan
sesuatu yang buruk berlaku kepada tunanganku. Uncle Lim memeluk isterinya yang
mula teresak-esak meratap hiba. Abah memberi isyarat mata kepada Uncle Lim.
Abang Norman juga mengangguk memahami isyarat itu. Uncle Lim, Puan Aisyah dan
Abang Norman keluar. Tinggal abah dan umi di sisi katilku.
“Intan,..
dengar baik-baik ya nak..” pujuk abah. Aku memandang wajah umi dengan seribu
persoalan.
“Kau
kena tabahkan hati mendengar berita ini. Abang Syafik kau dah tiada. Dia
meninggal dalam kemalangan itu…” tutur abah sebak.
“Ya,
Allah!” pekikku terkejut. Nafasku terasa sesak. Mencengkam dada. Gelap duniaku
mendengar berita itu. Air mataku bercucuran.
“Bersabarlah
Intan!” Pujuk umi dan memelukku. Aku
menangis tersedu-sedu mendengar berita itu. Tuhanku! Ujian apakah ini?
Aku
mengimbas kembali peristiwa itu. Semasa itu aku dan Syafik berhenti membeli
buah di tepi jalan selepas melawat pusara arwah ayah Syafik. Aku memilih buah jambu madu kegemaranku
sementara Syafik pula menjinjing plastik beg buah dokong.
“Abang,
ada ‘honey rock melon’ gerai sebelah sana..” Beritahuku sambil jari menunjuk ke
arah gerai buah di seberang jalan. Ketika itu beberapa buah kereta melalui
jalan yang sederhana sibuk itu.
“Okey,
jom. Sayang, pegang tangan abang elok-elok,” jawab Syafik lalu menarik
tanganku. Setelah memastikan tiada kenderaan barulah kami melintasi. Setelah
selesai memilih dan membeli buah kami melintasi semula jalan itu. Syafik
memberi isyarat agar aku mengikutinya kerana ketika itu dia sedang menjawab
panggilan telefon. Aku berpaut pada
lengan Syafik sambil tangan kiri menjinjing plastik beg buah jambu.
“Kereta
lajulah pula bang..” rungutku. Syafik mengangguk dan berpaling kiri kanan. Kami
berdiri di tepi jalan menunggu kenderaan beransur. Syafik menyikuku memberi
isyarat agar mengikutnya setelah tiada kenderaan melintas.
Tiba-tiba
dari jauh aku melihat sebuah kereta berwarna kuning laju meluru ke arah kami
yang masih berada di pertengahan jalan. Aku dan Syafik berlari laju ke arah
seberang jalan tapi.. tubuhku dan Syafik di rempuh juga oleh kenderaan itu. Aku
tidak sedarkan diri selepas kejadian itu. Menurut cerita abah, Syafik diheret
oleh kenderaan itu yang seterusnya melanggar gerai buah di tepi jalan. Keadaan
Syafik parah akibat dihentam dan seretan tayar kereta. Dia meninggal di situ
juga. Diriku pula sempat ditolak oleh Syafik tapi kepalaku terhantuk ke atas
jalan menyebabkan aku tidak sedarkan diri.
Hari-hari yang datang dan pergi sudah
tidak bermakna lagi bagiku. Kepemergianmu amat memedih dan memilukan hatiku.
Mengapa perkara ini terjadi kepadaku? Mengapa tidak kepada orang lain? Aku
belum bersedia untuk menghadapi kenyataan ini. Lepaskanlah aku dari belenggu
perasaanku sendiri. Di saat aku baru mengenal cinta dan kasih sayangmu,
kebahagiaan yang kau janjikan, aku terjerumus ke lembah kedukaan. Biarpun amat
sukar pada permulaanya untuk menerima dirimu, tapi caramu menyelami hatiku
membuat aku berubah hati menerima kehadiranmu dan ditakdirkan terpaut kepadamu.
Sesungguhnya aku tidak menyesal mengenali dirimu sebaliknya kehadiranmu
mengajarku tentang hidup dan kedewasaan diri ini. Kini kau pergi meninggalkan
aku sendirian. Sesungguhnya airmata bukanlah penyembuh kepada perpisahan kerana
kita hanya bisa merancang tetapi Allah yang menentukan antara kekecewaan dan
atau kebahagiaan. Walaupun kita semai dengan seribu impian namun.. ianya belum bisa
mengatasi takdir ilahi. Takdir yang mengikat kita, tetapi takdir juga yang
memisahkan kita. Aku tidak menyalahkan takdir kerana memisahkan kita kerana
kutahu mentari esok masih ada untuk menyinari kehidupanku.
Seminggu di hospital, aku sudah boleh
keluar. Sepanjang di hospital aku sempat berjumpa dengan Pakar Psikiatrik
kerana trauma dengan peristiwa itu. Kematian Syafik juga sudah dapat kuterima.
Hanya iringan doa semoga rohnya aman di sana.
Persiapan
untuk perkahwinanku yang akan berlansung seminggu lagi terhenti di situ sahaja.
Ramai sanak saudara dan handai taulan jauh dan dekat menziarahiku.
Masing-masing menghulurkan bantuan dan simpati. Bersabarlah Intan…!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan