Khamis, 7 Jun 2012

Cerpen: Milikku Jua = Part II


Sampai di rumah, Syafik dia terus memapah Daniel masuk. Aku membantunya membuka pintu. Syafik membawa Daniel ke tingkat atas di kamarnya.
Puan Aisyah muncul di kamar itu.
“Apa kena dengan Daniel ni Syafik?”  Tanya Puan Aisyah hairan.
“Dia mabuk mak,” jawab Syafik sambil membetulkan badan Daniel. Puan Aisyah menggeleng-geleng kepalanya.
“Eh! Intan pun ada,” tegur Puan Aisyah kepadaku yang baru keluar dari kamar membawa air dan tuala.
Aku tersenyum mengangguk sambil meletakkan bekas air di sisi katil. Syafik terus mengambil tuala. Merendam ke dalam bekas air seketika dan kemudiannya mengelap muka Daniel. Aku kagum dengan keprihatinan Syafik. Dia kelihatan amat bertanggungjawab kepada adiknya itu walaupun sekadar adik tiri.
“Kalau tak  ada apa-apa yang mak boleh tolong, mak keluarlah dulu ye.”
“Baiklah mak..”
Puan Aisyah berlalu. Aku berdiri di sisi Syafik. Mataku memandang ke arah Daniel. Wajah pemuda itu pucat. Kulitnya yang putih kemerahan bagaikan tidak berdarah. Aku melihat Syafik mengelap dahi dan wajah Daniel dengan penuh kasih sayang. Beruntunglah Daniel kerana memiliki seorang abang seperti Syafik.
“Intan, maafkan abang kerana menyusahkan Intan,” ujar Syafik lembut. Dia membuka butang baju kemeja yang dipakai oleh Daniel.
“Tidak mengapa bang,” kataku dan duduk disampingnya. Syafik mengukir senyuman dan aku membalas senyuman itu.
Syafik menatap jamnya dan memandang wajahku.
“Intan tidur di sini ajelah malam ni ya,” usul Syafik sambil meletakkan tuala ke dalam bekas yang berisi air di atas meja.
“Tapi.abang, abah … umi tentu….”
“Nanti telefon aje beritahu mereka,’’ gesa Syafik. Aku tunduk menguis hujung jari kaki ke karpet biru tebal yang menghampar bilik itu. Daniel sudah tertidur. Dia tidur persis seorang bayi lebih-lebih lagi wajahnya yang keanak-anakkan itu.

----------------------------0-----------------------------------------------------
Pagi itu aku terbangun agak lewat. Matahari sudah agak meninggi. Ketukan di pintu menyedarkan aku. Aku menguap berkali-kali. Barulah aku sedar rupanya aku bukan tidur di kamarku tapi di rumah Syafik.
“Selamat pagi Intan. Lena tak tidur semalam?” ucap Syafik sambil melangkah masuk. Aku berkalih ke tepi sedikit memberinya ruang. Aku cuba mengelak apabila dia cuba mencuri menciumku. Syafik ketawa kecil.
“Abang nak ambil baju,” ujarnya lalu menuju ke arah almari pakaiannya. Aku diam dan melangkah ke arah katil lalu duduk.
“Intan siap ye.. Kejap lagi kita sarapan bersama,” pesan Syafik sebelum keluar. Aku mengangguk lesu. Pandanganku tertuju ke arah kain tuala milik Syafik yang terlipat elok di atas katil. Malahan baju tidur milik Syafik yang membaluti tubuhku agak longgar. Maklumlah saiz aku dengan Syafik amat berbeza. Aku menjeling berus gigi yang masih baru dan belum digunakan terletak elok di atas tuala. Syafik meminjamkan aku pakaiannya kerana pakaian yang diberi pinjam oleh Puan Aisyah bakal mertuaku agak kelakar juga saiz denganku. Melucukan apabila aku yang bersaiz XS memakai pakaian saiz XXX…
“Intan pakai ajelah yang abang punya. Malam ni tidur ajelah berkain batik mak. Intan pakai t’shirt abang. Berus gigi tu abang belum guna. Jangan risau masih dalam bungkusan pembalut tu. Ni kain sembahyang mak. Intan guna pin ya untuk telekung tu,” pesan Syafik malam tadi.
Aku teringat peristiwa semalam. Aku bertambah pilu apabila mengenangkan Daniel. Dia begitu menderita rupanya. Selama ini aku dan dia sama-sama menderita. Namun kini kurasakan penderitaan di hati ini semakin berkurangan lebih-lebih lagi bila mengenangkan layanan dan kebaikan Syafik terhadapku.
Ketika aku turun untuk bersarapan, Syafik menungguku di meja makan dengan senyuman mesra.
“Ceria nampak Intan pagi ni.” Tegur Syafik. Aku membalas senyumannya. Syafik menarik kerusi untukku duduk. Aku mengucapkan terima kasih.
“Mana makcik dan uncle, bang?” tanyaku apabila melihat hanya kami berdua sahaja di meja makan. Tidak kelihatan bakal mertuaku.
“Mak dan uncle dah keluar. Mana boleh lewat bukak restoran. Nanti pelanggan lari. Daniel tadi keluar jogging. Mungkin dah balik dan ada di biliknya,” jelas Syafik. Tangannya pantas menyapu jem ke roti. Kemudian dihulurkan kepadaku. Begitu cekap dia melakukan kerja itu.
“Daniel dah makan ke bang?” Tanyaku sambil menggigit roti yang bersalut mentega.
“Belum, agaknya dia mahu bersarapan di kamarnya. Tak mengapalah, nanti abang bawa ke biliknya.” Usul Syafik.
“Boleh Intan tolong abang?”
Syafik tersenyum. “Tak apalah. Abang boleh sediakan. Tapi kalau sudi apa salahnya.”
Selepas menikmati sarapan bersama Syafik, aku menatang dulang yang berisi secawan tea dan roti untuk Daniel. Semenjak semalam, hatiku juga sudah dapat di tenangkan. Aku membontoti Syafik dari belakang menuju ke bilik Daniel. Ketika aku menolak pintu bilik Daniel, dia sedang berdiri di tingkap memandang keluar. Dia tidak sedikit pun menoleh ke arah kami.
“Daniel… ini abang bawakan sarapan untuk kamu,” tegur Syafik dan meletakan dulang ke atas meja. Daniel berpaling. Dia tersentak melihat ke arah aku dan Syafik.
“Silakanlah.. Sarapan roti aje..” tutur Syafik lagi. Daniel masih berdiri kaku di tepi jendela. Memandang keluar.
“Thank you bro. I’m not hungry..” ujarnya dan masih melihat keluar tingkap.
“Intan, mari keluar,” ajak Syafik sambil memeluk bahuku. Kami segera beredar dari situ membiarkan Daniel bersendirian.
Pagi itu lebih kurang pukul 9.30 pagi, Syafik menghantarku hingga ke rumah. Dia memohon maaf dari keluargaku kerana tidak menghantar aku balik semalam dan menerangkan perkara sebenar. Mujurlah abah dan umi memahaminya. Abang Norman asyik menjeling dengan senyum sinis, menyindirku dengan wajah penuh persoalan.
“Baik betul budak Syafik tu ya bang.” Kedengaran umi berbicara dengan abah menyebut nama Syafik. Aku hanya memasang telinga mendengar perbualan mereka.
“Yalah.. bakal menantu kesayangan awak,” tempelak abah pula. Abang Norman tersenyum-senyum. Apabila aku menjelingnya, dia berpura-pura memandang ke arah lain. Tentu ada sesuatu di fikirannya. Masakan tidak dia bersikap sedemikian.
“Intan masuk ke dalam dulu ya , abah.. umi..” pintaku meminta izin dan berlalu. Aku tidak suka untuk masuk campur apatah lagi mendengar perbualan orang tuaku. Jika aku tidak di ajak bersama aku akan mengelak diri. Lebih-lebih lagi melihat wajah abang Norman yang asyik mencuri menjeling memandangku.
Di kamar aku segera menghempaskan diri ke atas katil. Bayangan wajah Daniel muncul di mindaku. Kucuba mengenang kembali saat indah bersama Daniel. Aku mengenalinya semasa jamuan ulang tahun Nadra temanku. Daniel datang menemani sepupunya Devina, sahabat baikku. Dari situ bermulanya episode cintaku. Seminggu kemudian dia menjadi pelajar baru di kelasku dan di tempatkan di sebelahku setelah Ginny teman mejaku berpindah ke sekolah lain. Aku dan Daniel menjadi pasangan yang tidak secocok kerana perbezaan di antara kami amat ketara. Bangsa dan agama. Teman-teman meramalkan kami akan menghadapi masalah bercinta dengannya lebih-lebih lagi penerimaan abang Norman. Memang benar. Namun keteguhan cinta kami tetap bertahan hingga memasuki usia 10 tahun. Usia percintaan kami dari tingkatan 2 hingga kini sudah berkerja namun kami masih belum berani berbicara bersemuka dengan orang tuaku. Aku tidak pernah menyebut cerita Daniel di depan orang tuaku. Abang Norman juga melarang keras kepadaku agar tidak membuka mulut di depan abah dan umi.
Setelah semua masalah itu hampir dapat di atasi dan di saat aku hampir menjadi milik Daniel, abah membawa berita yang memusnahkan segala cita-cita dan harapanku untuk bersama Daniel. Menurutnya dia akan mengahwinkan aku dengan anak bekas teman lamanya yang kini telah meninggal. Dan itulah Syafik yang telah menjadi tunangku.
Aku sedih apabila mengenangkan Daniel. Setahuku Daniel bukan seorang pemabuk. Dia sendiri mengaku kepadaku dia tidak pernah menyentuh alkohol. Tetapi kenapa malam tadi dia mabuk? Apakah perubahan itu di sebabkan aku?
Lamunanku terputus apabila telefon bimbitku di sudut katil berbunyi. Dengan malas aku mengambil dan melihat nombor rumah Syafik. Suara di hujung sana memberi salam dengan kepelatan menyapa hujung telingaku.
“Daniel? Betulkah ini Daniel?” Detik hatiku. Kenapa dia menghubungiku.
“Ira.. hello.. Ira..!”
Aku diam membisu. Tidak tahu apakah yang harus kututurkan.
“Ira.. kenapa diam…”
“Daniel.. tolong jangan ganggu aku lagi..” Aku mengharapkan simpati. Namun jauh disudut hati aku mengharapkan sebaliknya. Aku amat merindui suara itu.
“Ira.. kau nak buang aku begitu sahaja ke? Kau tahu aku menderita Ira. Setelah hati ini kau curi, kau biarkan aku membina harapan dan impian kita. Bila kau tidak perlukan aku lagi kau lemparkan aku begitu sahaja. Kau kejam Ira…” tuduhnya melulu. Aku kaget dengan bicara sebegitu.
“Daniel, apa yang kau cakapkan ini. Aku tidak mengerti..”

“Bagaimana kau nak mengerti, kalau kau gembira dengan penderitaan aku…” rintihnya. Terdengar esakannya di corong telefon. Pipiku juga turut basah.
“Ira, aku sentiasa memegang janjimu yang kita akan sentiasa bersama, namun kenapa ia harus berakhir dengan perpisahan?” luahnya lagi.
“Apa salahku sehingga kau sanggup meninggalkan aku tanpa belas kasihan sedikit pun. Namun aku tidak menghalang kalau itu keputusanmu dan aku relakan walaupun hatiku pedih.. Aku akan tetap menyintaimu Ira! Aku akan setia menunggu mu suatu hari nanti. Kembalilah kepadaku Ira…”
Aku tidak sanggup lagi untuk mendengar rintihan lelaki itu. Cepat-cepat aku menekan butang ‘off’. Air mata laju menuruni pipiku. Aku menangis sepuas-puasnya sehingga mataku bengkak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kasi Laju Sket..