Ahad, 17 Jun 2012

Cerpen: Milikku Jua Part IV


Pandanganku berpinar-pinar dan kabur. Kepalaku terasa berat dan berdenyut-denyut. Suasana di sekeliling juga terasa asing dan membingungkan. Suara-suara sekeliling kedengaran timbul tenggelam. Aku cuba membuka mata. Silauan cahaya yang memedihkan mata menyebabkan aku memejamkan kembali mataku. Aku cuba untuk kali kedua. Wajah Umi menjadi tatapan pertamaku. Aku cuba menggapai tangan umi. Badanku terasa lemah. Segala sendi-sendiku terasa sakit. Aku tidak mampu mengangkat kepala.
“Mana abang Syafik umi? Mana abang Syafik..?”
“Jangan banyak bergerak nak,” pujuk umi lembut. Kulihat matanya merah dan bengkak. Mungkin baru lepas menangis. Umi cuba mengukir senyuman. Tangannya membelai rambutku.
“Mana abang Syafik, umi..?” Tanyaku lagi. Kulihat dia tiada di sisiku. Abah, umi, abang Norman, Puan Aisyah dan Uncle Lim memandangku sayu. Puan Aisyah memandang ke arah lain dan mengesat air matanya. Kulihat matanya juga sembab.
“Syukurlah kau dah sedar Intan,” pujuk abah pula.
“Kenapa dengan Intan Umi, abah?” Aku hairan dengan keadaan diriku lebih-lebih lagi setelah aku perasan di mana aku berada kini. Katil hospital dan kelibat jururawat yang melintas dari luar bilik aku di tempatkan menyebabkan hatiku menjadi walang melihat sekelilingku tanpa kehadiran tunangku.
“Kau selamat nak. Kau kemalangan,” tutur abah sayu.
“Kemalangan? Mana abang Syafik, umi?” Mataku meliar apabila melihat Syafik tiada bersama mereka. Aku khuatir sesuatu menimpa Syafik. Suasana di bilik itu sunyi sepi. Hanya bunyi mesin monitor denyutan jantungku jelas kedengaran. Aku memandang wajah Puan Aisyah.
“Ibu, mana abang Syafik?”
Bakal mertuaku itu berubah wajah. Air matanya mengalir laju. Hatiku mengatakan sesuatu yang buruk berlaku kepada tunanganku. Uncle Lim memeluk isterinya yang mula teresak-esak meratap hiba. Abah memberi isyarat mata kepada Uncle Lim. Abang Norman juga mengangguk memahami isyarat itu. Uncle Lim, Puan Aisyah dan Abang Norman keluar. Tinggal abah dan umi di sisi katilku.
“Intan,.. dengar baik-baik ya nak..” pujuk abah. Aku memandang wajah umi dengan seribu persoalan.
“Kau kena tabahkan hati mendengar berita ini. Abang Syafik kau dah tiada. Dia meninggal dalam kemalangan itu…” tutur abah sebak.
“Ya, Allah!” pekikku terkejut. Nafasku terasa sesak. Mencengkam dada. Gelap duniaku mendengar berita itu. Air mataku bercucuran.
“Bersabarlah Intan!”  Pujuk umi dan memelukku. Aku menangis tersedu-sedu mendengar berita itu. Tuhanku! Ujian apakah ini?
Aku mengimbas kembali peristiwa itu. Semasa itu aku dan Syafik berhenti membeli buah di tepi jalan selepas melawat pusara arwah ayah Syafik.  Aku memilih buah jambu madu kegemaranku sementara Syafik pula menjinjing plastik beg buah dokong.
“Abang, ada ‘honey rock melon’ gerai sebelah sana..” Beritahuku sambil jari menunjuk ke arah gerai buah di seberang jalan. Ketika itu beberapa buah kereta melalui jalan yang sederhana sibuk itu.
“Okey, jom. Sayang, pegang tangan abang elok-elok,” jawab Syafik lalu menarik tanganku. Setelah memastikan tiada kenderaan barulah kami melintasi. Setelah selesai memilih dan membeli buah kami melintasi semula jalan itu. Syafik memberi isyarat agar aku mengikutinya kerana ketika itu dia sedang menjawab panggilan telefon. Aku berpaut pada  lengan Syafik sambil tangan kiri menjinjing plastik beg buah jambu.
“Kereta lajulah pula bang..” rungutku. Syafik mengangguk dan berpaling kiri kanan. Kami berdiri di tepi jalan menunggu kenderaan beransur. Syafik menyikuku memberi isyarat agar mengikutnya setelah tiada kenderaan melintas.
Tiba-tiba dari jauh aku melihat sebuah kereta berwarna kuning laju meluru ke arah kami yang masih berada di pertengahan jalan. Aku dan Syafik berlari laju ke arah seberang jalan tapi.. tubuhku dan Syafik di rempuh juga oleh kenderaan itu. Aku tidak sedarkan diri selepas kejadian itu. Menurut cerita abah, Syafik diheret oleh kenderaan itu yang seterusnya melanggar gerai buah di tepi jalan. Keadaan Syafik parah akibat dihentam dan seretan tayar kereta. Dia meninggal di situ juga. Diriku pula sempat ditolak oleh Syafik tapi kepalaku terhantuk ke atas jalan menyebabkan aku tidak sedarkan diri.
Hari-hari yang datang dan pergi sudah tidak bermakna lagi bagiku. Kepemergianmu amat memedih dan memilukan hatiku. Mengapa perkara ini terjadi kepadaku? Mengapa tidak kepada orang lain? Aku belum bersedia untuk menghadapi kenyataan ini. Lepaskanlah aku dari belenggu perasaanku sendiri. Di saat aku baru mengenal cinta dan kasih sayangmu, kebahagiaan yang kau janjikan, aku terjerumus ke lembah kedukaan. Biarpun amat sukar pada permulaanya untuk menerima dirimu, tapi caramu menyelami hatiku membuat aku berubah hati menerima kehadiranmu dan ditakdirkan terpaut kepadamu. Sesungguhnya aku tidak menyesal mengenali dirimu sebaliknya kehadiranmu mengajarku tentang hidup dan kedewasaan diri ini. Kini kau pergi meninggalkan aku sendirian. Sesungguhnya airmata bukanlah penyembuh kepada perpisahan kerana kita hanya bisa merancang tetapi Allah yang menentukan antara kekecewaan dan atau kebahagiaan. Walaupun kita semai dengan seribu impian namun.. ianya belum bisa mengatasi takdir ilahi. Takdir yang mengikat kita, tetapi takdir juga yang memisahkan kita. Aku tidak menyalahkan takdir kerana memisahkan kita kerana kutahu mentari esok masih ada untuk menyinari kehidupanku.
Seminggu di hospital, aku sudah boleh keluar. Sepanjang di hospital aku sempat berjumpa dengan Pakar Psikiatrik kerana trauma dengan peristiwa itu. Kematian Syafik juga sudah dapat kuterima. Hanya iringan doa semoga rohnya aman di sana.
Persiapan untuk perkahwinanku yang akan berlansung seminggu lagi terhenti di situ sahaja. Ramai sanak saudara dan handai taulan jauh dan dekat menziarahiku. Masing-masing menghulurkan bantuan dan simpati. Bersabarlah Intan…!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kasi Laju Sket..