Sudah dua hari Aira
berada di Kota Raya ini. Sudah dua hari juga Aira terpisah dengan abah, umi dan
keluarga di kampung. Selama dua hari ini juga Aira menjadi seorang penunggu
setia di kamar bilik atas apartmen milik keluarga Izzati. Mereka tinggal di situ
berempat bersama seorang pembantu rumah warga Indonesia. Pembantu itulah yang
menghantar makanan ke bilik Aira dan Izzati.
Aira tidak mengenali
sangat abang Izati. Lelaki itu hanya mengangguk dan menjelingnya sepintas lalu
semasa berjumpa di meja makan. Oush...! Sombong ! Getus hati Aira.
Lelaki itu tidak
memandangnya pun semasa Izzati memperkenalkan temannya itu kepada abangnya.
“Okey, you boleh
tinggal di sini sebab you kawan Izzati.” Sepatah sahaja bicara lelaki itu
ketika Izati memperkenalkan Aira kepada abangnya. Selepas itu lelaki itu terus
berlalu meninggalkan meja makan dan keluar.
“Abang aku memang
macam tu. Jarang lekat di rumah. Jangan risaulah. Dia okey ,” terang Izati
sambil meneguk minuman coklat yang dibuat oleh Tini, pembantu rumah.
Aira pada mulanya
tidak selesa juga kerana memikirkan tuan rumah tidak berapa suka kedatangannya.
Tetapi layanan dari Izati dan pembantu yang peramah membuat dia dapat
menyesuaikan diri. Setiap hari Izati keluar dan meninggalkan Aira sendirian
bersama Tini. Mujurlah ada Tini yang boleh menjadi teman berbualnya.
“ Kau rehat seminggu
dua ni. Nanti lepas ni aku bawak kau jumpa makcik aku. Dia dah setuju nak ambil
kau bekerja kat butik dia,” terang Izati semasa dia menemani Aira menonton
televisyen pada suatu malam. Dia baru sahaja balik dari keluar bersama teman lelakinya.
Aira mengangguk bersetuju. Terubat juga hatinya mendengar janji Izati.
“Cik Izati, besok
Tini mau keluar pergi jalan-jalan. Boleh Tini ajak Cik Aira sama. Kasian dong
asyik makan tidur saja. Boringkan Cik Aira...”
Lucu juga Aira
apabila mendengar orang gaji yang berlebihan pula bersuara. Bukan Izati tidak
mengajak Aira keluar tetapi Aira enggan kerana di saat ini dia masih berduka
dengan peristiwa yang menimpanya. Seminggu bersama Tini, Aira amat menyukai
pembantu yang periang dan sangat peramah. Dia pandai menghiburkan hati Aira
dengan cerita dan nasihatnya.
“Tini belajar tinggi
juga. Ada ijazah bidang Pharmacy tapi enggak mau kerja di sana. Gajinya kecik
aje. Jadi orang gaji di sini lagi mahal dong .” Tini membuka ceritanya. Aira
tidak tahu sama ada hendak mempercayai atau tidak. Tini memang lincah. Dia mengajar
Aira dari segi berpakaian dan belajar mekap.
“ Cik Zati bagi
mekap kit ni untuk Tini. Mahal ni katanya... hahaha..” Aira amat sukakan cara
Tini yang bersahaja. Cara ketawanya, cara dia bercerita amat menyenangkan. Aira
hairan juga kerana Tini bekerja sebagai pembantu rumah bukan seperti mengikut
kelulusan seperti yang diceritakan. Adakah Tini membohonginya, Aira tidak
jelas. Apabila bercerita berkaitan ubatan, Tini seolah amat arif dan sebab
itulah Aira amat yakin Tini tidak bercakap bohong.
“Sorrylah Aira, aku
tak boleh temankan. Esok aku ada appointmen penting. Balak aku tu nak bawak aku
pergi tempat dia kerja.”
“Balak Cik Zati
bagus tau cik Aira. Suka tolong orang. Tolong anak yatim. Buat kebajikan...”
Seperti biasa Tini yang mendahului Izati apabila bercerita. Izati hanya
tersengih-sengih dengan gelagat pembantu rumahnya itu.
“ Tini ni bukan
setakat pembantu rumah aje. Dia ni merangkap PA aku. Dia bukan setakat pandai
jaga rumah tapi pandai masak, buat kek, pandai lah serba serbi..” tokok Izati
pula. Tini semakin ceria dan galak aksinya. Aira cuba mencongak. Tini
memberitahu usianya sekarang 22 tahun bermaksud bezanya dengan Aira dan Izati
hanya 5 tahun. Wajah Tini awet muda. Berkat mengamalkan jamu. Kata Tini apabila
Aira bertanya semasa mereka berbual sebelum ini. Tini kelihatan sebaya dengan
mereka berdua dan pastinya sikapnya juga mencerminkan tingkahlakunya persis si
manis 17.
“ Aku masuk tidurlah
dulu Aira. Tini.. Korang berdua tak mengantukkah?” Tanya Izati sambil berlalu
ke kamarnya.
“ Aku pun nak
tidurlah...” jawab Aira dan mengikuti langkah Izati dari belakang.
“Cik Aira, besok
jadi ya kita keluar berlibur...” seru Tini melaung sedikit kuat. Aira tersenyum
dengan gelagat gila-gila Tini.
“ Kalau kau layan
minah indon tu kau pun akan jadi biol seperti dia ,” tegur Izati sambil
melangkah ke bilik air. Aira hanya tersenyum mendengar omelan Izati. Dia duduk
di meja solek sementara menunggu giliran Izati di bilik air. Aira sudah biasa
mencuci muka, gosok gigi dan berwuduk sebelum tidur.
Aira membelek
wajahnya. Dia amat berbangga dengan wajahnya yang licin mulus. Walaupun
kulitnya tidak secerah Izati tetapi dia tergolong di dalam kumpulan berkulit
kuning langsat. Warna kulitnya menarik . Itu kata Izlan. Ah! Bila menyebut nama
Izlan hatinya bagai dicarik-carik.
Aku mesti belajar
lupakan Izlan. Lupakan dia. Lupakan dia. Bisik hati Aira. Dia menarik nafas
dalam-dalam dan menghembusnya perlahan.
Aira cuba mengingati
perkara lain. Wajah-wajah lain. Dia cuba membayangkan wajah keluarganya tetapi
hanya sepintas lalu.
Tiba-tiba dia
terpandangkan foto Izati bersama keluarganya di atas meja solek itu.
Izati kelihatan
sangat gembira di peluk oleh bapanya dan abangnya di tengah. Mata Aira cuba
merenung wajah abang Izati. Aira ingat-ingat lupa nama abang Izati. Shawn kalau
tak silap pendengarannya. Lelaki itu agak menarik juga pada pandangan Aira.
Rambutnya sedikit berombak dan di potong pendek. Kulitnya sawo matang dan dia
mempunyai sepasang mata yang agak tajam dan bercahaya tetapi tenungannya redup
romantis. Menarik. Cetus hati Aira. Aira suka melihat alis matanya yang sedikit
garang tapi renungan matanya bersinar syahdu. Ada sesuatu yang menarik
perhatiannya. Aira cuba membandingkan lelaki itu dengan Izlan. Ternyata berbeza
dari segi warna kulit. Izlan berkulit putih cerah dan sedikit tinggi berbanding
Shawn. Tetapi Izlan sedikit kurus dan kelihatan tinggi.
“ Abang aku masih
belajar. Makwenya Jepun...” Aira teringat perbualannya dengan Izati berkaitan
abangnya itu.
“ Cik Aira jangan
tanya pasal Encik Shawn. Tini tak berani...” Memek muka Tini mencerminkan dia
tidak bersedia bercerita berkenaan lelaki itu.
“ Tini bisa bilang
dia baik. Itu aja ,” jelas Tini lagi. Selepas itu dia bercerita perkara lain
pula.
Esok dia akan cuba
keluar bersama Tini. Dia tidak tahu hendak ke mana tetapi dia ketawa apabila
Tini memberitahu mereka akan berjalan kaki dan mungkin balik dengan teksi.
Suara Izati menyanyi
kecil keluar dari bilik air mengejutkan Aira dari terus berkhayal. Aira
mencapai tuala dan masuk ke menolak pintu bilik air.
Petang itu Tini
menghantar Aira pulang dengan selamat ke rumah. Sepanjang hari itu dia
membawa Aira keluar berjalan sehingga ke
Chow Kit. Aira tidak pasti apa yang istimewanya tempat itu.Tini kelihatan
seperti biasa dengan suasana tempat itu. Dia bertegur sapa dengan beberapa
peniaga di situ. Beberapa kenalan senegaranya menegur ramah.
Selepas itu Tini
membawa Aira ke Dataran Merdeka. Aira hanya duduk bersantai di bawah pokok
besar mengadap jam besar bangunan Sultan Abdul Samad. Tini membelikan minuman
dan makanan ringan sambil mengalas surat khabar. Mereka duduk lepak di situ
melepaskan penat kaki. Beberapa orang pemuda mengusik dan menegur mereka tetapi
jawapan Tini menarik perhatiannya.
“ Usah di layan Cik.
Dia orang saja mengusik kita tu,” ujar Tini sambil ketawa kecil . Aira
perhatikan Tini adalah seorang yang berdisiplin juga. Kulit kacang yang dimakan
di isi ke dalam plastik bekas makanan dan di kumpulnya kemudian dia membuangnya
ke dalam tong sampah yang berdekatan.
Sejam bersantai di
Dataran Merdeka, mereka menapak pula ke Kelab Sultan Sulaiman. Berjalan melihat
bunga dan mengejar rerama. Penat di situ barulah Tini mengajak Aira bertapak
lagi. Setengah jam kemudian mereka berpeleseran di Jalan Tunku Abdul Rahman. Masuk
ke kedai keluar kedai sehingga jam hampir jam 5.00 petang mereka berebut teksi
pula dengan pekerja yang baru balik kerja. Aira rasa seronok juga kerana dapat
keluar dengan Tini hari itu.
Tini menghantar Aira
sehingga ke pintu rumah. Pintu di bukanya dengan kunci pendua yang dimilikinya.
Rumah itu sunyi sepi
tanpa penghuni. Izati atau abangnya masih belum pulang.
“Cik Aira masuk
dulu. Tini ada kerja belum selesai. Rehat ya. Kunci rumah tau. Jangan risau
semua orang ada kunci...” ujar Tini sambil menghulur bungkusan makanan. Mereka
singgah beli makanan di Pasar Malam tadi.
Aira menyambut
plastik makanan tersebut dan membawanya masuk ke dalam rumah. Aira meletakkan
makanan ke atas meja di dapur.
Tini sudah
menghilang keluar. Tini juga sudah berpesan agar Aira menikmati makanan
sendirian kerana dia mungkin balik lewat.
Terbit kehairanan
juga dengan gelagat isi rumah itu. Izati dengan kerja amalnya bersama teman
lelakinya. Shawn pula jarang lekat di rumah. Semenjak Aira menetap di sini dia
hanya bersua muka dua kali sahaja dengan Shawn. Tini pula katanya pembantu
rumah tetapi dia bebas keluar masuk rumah ini seolah-olah dia pula tuan rumah.
Papa Izati Uncle Ishak pula hanya sekali berjumpa semasa Aira mula-mula sampai
ke sini dengan Izati. Uncle Ishak yang menjemput mereka di stesen bas. Papa
Izati adalah seorang usahawan yang berjaya dan mempunyai gelaran tetapi Aira
amat hormatkan lelaki itu kerana sifatnya yang tidak sombong.
Aira menghabiskan
waktu malam itu dengan menonton televisyen bersendirian. Cerita ‘Top Gun’
lakonan Tom Cruise menarik perhatiannya. Dia teringatkan Izlan. Izlan amat
meminati Tom Cruise. Aira juga minat Tom Cruise sebab pelakon itu kacak.
Lain-lain Aira tidak pasti lagi. Ah! Itulah gadis muda sepertinya.
Aira menikmati makan
malamnya bersendirian. Tini dan penghuni rumah yang lain belum pulang. Aira
memanaskan air untuk membancuh milo. Aira keluar ke ruang rehat untuk mengambil
cawan kosong yang ditinggalkan di meja menonton tv tadi.
Pintu rumahnya di
buka dari luar. Aira terkejut melihat Shawn muncul bersama seorang perempuan.
Mungkinkah perempuan itu kekasih Jepunnya. Aira segera melarikan diri ke dapur
bersama cawan kosong miliknya. Dadanya berdebar melihat renungan mata Shawn dan
lirikan jelingan tajam sepasang mata sepet milik temanita Shawn. Dia tidak
berani bertegur sapa dengan pasangan itu.
Aira terus masuk ke
kamarnya. Kedudukan kamar Izati yang didiaminya bersebelahan bilik Shawn
membuatnya hatinya tidak tenteram. Dia dapat mendengar jelas pintu bilik Shawn
di tutup kasar. Berdentum. Hampir tercabut jantung Aira mendengarnya.
Suasana kembali
sunyi sepi. Aira berbaring di katil sambil mengeluarkan diari miliknya. Sudah
beberapa hari dia tidak mencoretkan kisah dan luahan hatinya di dada diari.
Diari berwarna pink biru ini dihadiahkan oleh Izlan semasa ulangtahunnya ke 15
tahun dan bermakna sudah dua tahun dia memiliki diari itu. Aira terus hanyut
dengan dunianya. Lagu Bayangan Duka dendangan Penyanyi Nasir Wahab menemaninya
malam itu sambil tangannya lincah mencoretkan di atas dada diari miliknya.
Aira menjeling jam
di dinding yang menunjukkan pukul 10.30 malam.
Tiba-tiba ketenangan
itu terganggu. Suasana hingar bingar. Kekecohan kedengaran dari bilik sebelah.
Aira terkejut mendengaran suara perempuan berteriak di dalam bahasa yang Aira
tidak fahami. Aira bangkit dari katil. Dia cuba mengintai melalui lubang pintunya.
Dia membatalkan niatnya untuk membuka pintu apabila melihat perempuan yang
datang bersama Shawn itu berlari keluar dari bilik itu dan keadaan di situ
kembali tenang. Bunyi dentuman pintu dihempas seketika meluruhkan hati Aira.
Dia mengurut dadanya perlahan-lahan. Begaduh agarnya melihat keadaan perempuan
itu yang berlari keluar dan suara yang bising.
Manalah Tini dengan
Izati ni. Cepatlah balik. Rintihnya di dalam hati. Saat ini hanya dia dan Shawn
sahaja di dalam rumah itu. Aira menghampiri meja belajar dan tanpa disedari dia
telah terlanggar cawan milo milknya tadi dan air milo yang telah sejuk itu
tertumpah ke atas baju tidurnya. Kaki dan pahanya merasa melekit terkena air
milo yang manis itu.
Aira masuk ke kamar
mandinya dan dia bercadang untuk mandi sebelum kembali. Aira mengesat meja yang
terkena tumpahan milo itu. Dia menyumpah dirinya kerana membawa minuman itu ke
biliknya sedangkan dia tidak berhajat sebegitu sebenarnya tadi. Kalaulah Shawn
tidak balik tadi dia tidak perlu berkurung di bilik ini sambil membawa cawan
milonya bersama.
Aira mengesat air di
rambutnya dengan tuala. Ketika dia keluar dari bilik air sekali lagi dia
mendengar kekecohan di luar biliknya. Aira menggeleng kepalanya. Bingung juga
dengan situasi malam ini.
Dia mendengar suara
beberapa lelaki di keluar biliknya. Dia ingin mengintai melalui lubang kunci
tetapi ketukan di pintu biliknya mengecutkan hatinya. Dia berundur ke belakang.
“ Buka pintu ini...”
Berdentum pintu biliknya di ketuk. Aira serba salah. Dia masih lagi mengelap
wajah dan rambutnya yang basah dengan
tuala. Kain batik yang dipakainya diikat ketat.
Apabila ketukan
ketiga diiringi oleh suara Shawn yang berteriak kasar, Aira membuka pintu
biliknya.
Sekali lagi dia
terkejut dan tergaman melihat Shawn yang berseluar pendek dan tidak berbaju
sedang berdiri di depan biliknya. Wajah Aira ketakutan juga apabila melihat
beberapa lelaki lain sedang merenungnya dengan senyuman sinis.
“Kami terima laporan
ada pasangan berada di dalam rumah ini dan laporan itu tepat.”
Aira terdampar di
pintu bilik apabila mendengar pertuduhan yang dikenakan kepadanya. Kepalanya
rasa pusing menghadapi situasi itu. Terketar-ketar Aira mencari kad pengenalan
miliknya dan menyerah kepada salah seorang lelaki itu.
“ Saya tak kenal dia..” seru Aira takut-takut.
Kenyataan itu ditujukan kepada Shawn.
“Kamu tak kenal dia
tapi kamu berdua-dua dengan dia dalam rumah ni...” sergah seorang lelaki yang
membawa fail biru. Aira menggeleng-geleng kepalanya.
“Kamu didapati
berkhalwat dengan lelaki ini dalam rumah ini.”
Tubuh Aira terkulai
layu mendengar pertuduhan yang dihadapinya.
Ya! Allah ! Apa salahku ya Allah.Ampunilah
aku...” Rintih Aira di dalam hati.
Air mata Aira tumpah
lagi. Dia menangis teresak-esak. Shawn hanya memandangnya dengan pandangan
kosong.
Aira dan Shawn di
bawa ke balai polis. Aira hanya mampu menangis dan menangis. Dia langsung tidak
dapat menjawab persoalan oleh pegawai-pegawai di situ.
Aira terbayangkan
keluarganya. Pasti abah dan uminya akan malu dengan berita ini.
Dia juga
terbayangkan Izlan. Kalaulah tuduhan ini berlaku kepada dia dengan Izlan, dia
redha. Tetapi lelaki ini... Shawn. Dia langsung tidak mengenali peribadi Shawn.
Aira memandang
sekeliling dengan mata yang sembab. Air kopi yang dihulurkan oleh seorang
pegawai wanita hanya dipandangnya sepi. Aira kesal dengan Shawn yang hanya
menyepi dan tidak menafikan pertuduhan yang dihadapi olehnya.
Izati.. mana Izati.
Dia perlukan Izati dan Tini. Kemanakah menghilang temannya itu. Aira kelihatan hampa apabila
pegawai wanita itu memberitahu tidak dapat menghubungi Izati.
Aira menjeling ke
arah Shawn yang sudah berbaju kemeja dan berseluar jeans. Lelaki itu kelihatan
kusut masai sambil tersandar di sofa sambil memejamkan matanya.
Aira terasa amat
malu apabila mendengar perbualan pegawai yang terlibat di dalam serbuan itu.
Hasil penemuan bahan bukti di bilik Shawn iaitu condom yang baru digunakan amat
memalukan Aira. Ini fitnah. Jerit hati Aira.
“Kami tidak jumpa
perempuan lain selain mereka berdua di dalam rumah itu. Si perempuan pula baru
lepas mandi...” Jelas seorang pegawai itu. Aira sakit hati mengaitkan penemuan
dan siasatan itu namun dia tersepit. Temanita Shawn juga tidak dapat dihubungi.
Aira semakin malu
apabila semasa dia di bawa keluar dari bilik itu setelah dijamin oleh Uncle
Ishak ayah Shawn, beberapa orang wartawan telah dapat menangkap fotonya dan
Shawn. Aira semakin malu.
Hampir jam 3.00 pagi
barulah Aira dihantar pulang oleh Ayah Shawn. Tini pula menunggu di rumah.
Apabila melihat kemunculan Aira pembantu rumah itu terus memeluk Aira.
“Sabar Cik Aira.
Sabar ya..” pujuk Tini sambil memimpin Aira ke biliknya.
Aira langsung tidak
boleh lena sehingga ke pagi. Dia hanya mampu menangis dan menangis sahaja
melepaskan kesesakan di dadanya.
Abang ! Tolong Along
bang. Along di fitnah bang. Along takut...
Aira hanya tersembam
di bantal dengan Tini yang tidak jemu memujuknya.
Aira mengeluh kesal,
kalaulah dia bersetuju dengan Izlan mungkin sekarang masalah ini tidak timbul.
Sekiranya dia mengikuti Izlan kini tentu dia sudah berada di luar negeri
bersama Izlan dan mereka tentu sedang bahagia.
Izlan suami orang
Aira. Seru suatu suara.
Benci..! Aira
menumbuk bantal. Semua ini kerana Izlan. Kalau dia tidak mengahwini perempuan
lain mungkin aku masih setia menunggunya. Benci. Benci. Benci !...
Aira menumbuk bantal
sekuat hatinya. Melepaskan amarah yang membara di hatinya.
Aira semakin sebak
dan sesak apabila melihat kemunculan Abah dan umi di pintu kamarnya. Wajah abah
yang garang mengecutkan hati Aira.
“ Apa along dah buat
ni anakku?” tanya Umi sambil memeluk anak gadis tunggalnya itu. Puan Hanim
menangis melihat keadaan anak gadisnya itu.
“ Along tak salah
umi. Along tak salah..” rintih Aira di dalam pelukan ibunya. Aira mencurahkan sepenuh perasaanya yang amat
terluka dengan peristiwa itu. Abah pula terduduk dengan wajah duka di kerusi.
Dia menggeleng kepala bagaikan tidak percaya anak gadis yang baru mengenal
dunia itu terjebak sebegini.
“ Sebab itu abah
berat hati lepaskan along datang ke KL ni...” keluh abah sambil menanggalkan
songkok di kepalanya ke atas meja.
Malam itu Uncle
Ishak, abah dan umi berbincang panjang. Uncle Ishak menunjukkan keratan akhbar
yang menunjukkan wajah Aira, Shawn dan dirinya yang terpampang di dada akhbar
atas peristiwa semalam. Nama baiknya sebagai seorang usahawan berjaya kini
telah tercemar. Dia memberitahu mereka dia tidak menyalahkan Aira. Dia tahu
Aira tidak salah. Tetapi surat khabar itulah melaporkan perkara yang salah.
Ianya tidak dapat ditarik balik kerana berita itu telah tersebar le seluruh
negara. Bahkan kenalannya ramai telah menghubunginya dan bertanyakan pasal
berita itu. Memanglah berita buruk cepat aje tersebar.
Beberapa orang saudara mara Uncle Ishak juga
datang menjenguk muka dan memberi pendapat. Aira amat malu apabila bertemu mata
dengan Auntie Maria dan Uncle Didie yang juga merupakan kenalan Uncle Ishak.
“ Sabarlah Along.
Auntie faham perasaan Along. Auntie tahu Along anak yang baik. Along tak akan
cemarkan nama baik keluarga kita.” Pujuk Auntie Maria sambil membelai rambut
Aira. Umi hanya tersandar lesu di kepala katil. Wajah umi juga sembab sebab
sedih dengan peristiwa yang tidak disangkakan.
Auntie Maria terus
memberi kata semangat dan sokongan dan nasihat kepada Aira. Dia faham sebagai
seorang ibu yang menyayangi Aira seperti anaknya sendiri.
Perbincangan kedua
belah pihak dilakukan. Permuafakatan dicapai. Pasangan itu harus segera
dinikahkan demi nama baik kedua belah pihak dan reputasi keluarga Shawn
terutamanya.
Akhirnya Aira
terkedu lagi. Dia bertempik enggan mendengar penerangan oleh abah dan Uncle
Didie. Dia meronta-ronta dan membaling apa sahaja barang di depannya dan enggan
mendengar nasihat orang tuanya.
“ Along nak abang
Izlan. Along hendak dia sahaja. Along tak mahu lelaki lain...!” Jerit Aira
seakan histeria.
Abah hilang sabar.
Tubuh Aira terdampar di kaki katil menerima penampar abah pertama kali dalam
hidupnya. Umi menjerit kecil melihat situasi itu. Uncle Didie memeluk abah
menghalang abangnya itu dari terus memukul Aira.
“Kamu mesti kahwin
dengan anak Uncle Ishak. Kalau tidak kamu bukan anak abah lagi...!” Jerkah abah
nyaring sambil berlalu meninggalkan bilik itu.
“Along...!” rintih
umi sambil memeluk Aira. Auntie Maria juga memeluk kedua beranak itu.
Dan rentetan
peristiwa itu sahlah Aira menjadi isteri Shawn dalam usia 17 tahun. Usia yang
dianggapnya terlalu muda untuk menggalas bahu sebagai seorang isteri. Aira rasa
seperti tidak mahu meneruskan hidupnya lagi apabila menghadapi situasi itu.
Musnahlah harapan dan impiannya selama ini. Dia punya cita-cita yang ingin
dibuktikan kepada Izlan yang masih lagi bergelar tunangannya.
“ Along mesti
sembunyikan berita ini daripada Izzi ya...” Pinta Auntie Maria.
Aira mengangguk
lesu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan