Ahad, 15 Julai 2012

Cerpen: Sue...Tega Kuhadapi Realiti Ini Part 3


Daun-daun kering berguguran. Ditiup angain dan bertaburan di halaman. Sue duduk berehat di pangkin yang terletak di bawah pokok rambutan. Cuaca petang itu agak tenang, bayu laut bertiup lembut.
Novel ‘Waja’ karya Lamia Aima hampir separuh dibacanya. Sesekali dia membetulkan duduknya sambil bersandar di batang pokok rambutan dan kakinya dijulurkan. Matanya penuh asyik menatap isi novel itu baris demi baris. Memek mukanya kadang-kadang tersenyum, tenang dan sedih mengambil reaksi dari sorotan setiap inci jalinan cerita novel tersebut.  Penuh khusyuk.  Topi yang dipakai terletak senget di atas kepala. Apabila melihat cara berpakaian pasti tidak percaya dia adalah seorang gadis kecuali diperhatikan  dengan teliti. Memang benar dia agak kasar dari persepsi pertama tapi dia adalah sebaliknya.
“Hoi..!” Satu suara entah dari mana menyergahnya dari sisi. Sue terperanjat hingga novel di tangannya terjatuh. Rosmah mengilai kecil melihat gelagat Sue.
“Ler.. kamu ni.. terperanjat beruk aku,” marah Sue lantas menarik muka masam. Rosmah tunduk mengambil novel yang terjatuh lalu dihulurkan kepada Sue.
“Sorry..sengaja dalam tak sengaja..,” ujar Rosmah mengekek lalu melabuhkan duduknya di hujung kaki Sue. Sue mengalihkan sedikit kakinya memberi ruang untuk Rosmah duduk.
“Lain kali jangan buat begitu ya. Kurr semangat aku. Mujur aku ni taka da penyakit jantung,” kata Sue seakan memberi amaran lalu turun dari pangkin dan menyapu-nyapu bajunya sambil membetulkan topi di kepalanya.
“Sue, jom temankan aku berjalan-jalan,” ajak Rosmah.
“Jalan-jalan? Heh, kau tak nampak ke aku ada kerja ni?” jengil Sue sambil menayangkan novel di tangannya ke arah muka  Rosmah.
“Ala.. kau boleh sambung lain kali,” pujuk Rosmah sambil mengambil buku novel dari tangan Sue.
“Mana boleh, main sambung-sambung lain kali ni tak best,” jawab Sue selamba. Rosmah bangun dan berdiri.
“Kalau tak sudi tak apalah,” Rosmah bersuara perlahan seakan merajuk.
“Sorry ya..!” ejek Sue sinis. Dia duduk semula di atas pangkin itu.
“Okey aku pergi dulu,” Rosmah mula melangkah. Sue memandang sahaja langkah Rosmah. Ketika langkah Rosmah 10 langkah ke depan, Sue bingkas bangun dan menyeru nama Rosmah.
“Ros… ! Nanti dululah,” laung Sue. Dia berlari anak ke arah Rosmah yang berhenti di tepi jalan.
“Apa halnya?” Rosmah bertanya sambil mengangkat kening.
“Ala takkan dah merajuk..!” sindir Sue.
“Merajuk apa pulak ni?”
“Boleh aku ikut kau? Tadi aku gurau je!” Tanya Sue kembali. Rosmah tersenyum dan menggeleng-geleng  kepalanya.
“Yalah! Orang tak sudi kita tak boleh paksa.” Sue menelan air lir mendengar jawapan Rosmah.
“Eh! Kau ni marah betul ke?”
“Marah? Kau ni mengingau ke Sue?” Sue ternganga. Rosmah ketawa dan menarik tangan Sue. Sebentar kemudian kelihatan kedua-dua gadis itu berjalan di bawah pohonan kelapa menuju ke arah jalan besar.
Mereka melintasi kedai kopi Pak Ayob. Kelihatan beberapa orang lelaki sedang duduk melepak di situ dan ada yang bermain dam di dalam kedai itu. Beberapa orang menegur mereka ramah. Ryzal juga sedang  berbual dengan teman-temannya di situ. Apabila melihat Sue dan Rosmah dia meninggalkan teman-temannya dan berlari mengejar kedua-dua gadis itu.
“Hai Sue, Ros...! Tunggu dulu! Korang berdua ni nak ke mana?” Ryzal segera memintas perjalanan Sue dan Rosmah.
“Emm..Biasalah, nak ke kedai koperasi,” jawab Rosmah.
“Oh! Ya,..Sue, budak yang kau tolong tempohari tu nak jumpa kau,” beritahu Ryzal. Berkerut wajah Rosmah mendengar berita itu sambil memandang wajah Sue. Sue tenang dan selamba seolah-olah tidak mendengar bicara Ryzal.
“Hey! Sue.. betul aku tak bohong,” tekan Ryzal apabila melihat reaksi selamba Sue.
“Gini ajelah, kau beritahu dia aku tak berminat nak jumpa dia.”
“Tapi Sue.. dia betul-betul nak berjumpa kau!”
“Sorry  ya, pandai-pandailah kau terangkan kat dia.”
“Dia nak ucap terima kasih aje!”
“Tak payah! Aku tak meminta ucapan terima kasih atas pertolongan tu. Semuanya kulakukan atas dasar insaniah..”
“Sue, nanti dia marahkan aku pulak.”
Sue tidak menghiraukan Ryzal. Dia terus menarik tangan Rosmah dan berlalu dari situ. Ryzal terkilan dengan sikap tidak endah Sue. Dia memandang langkah Sue dan Rosmah tanpa berkelip. Apabila kedua gadis itu semakin jauh barulah dia berpatah balik ke arah kedai kopi Pak Ayob.

1 ulasan:

  1. bakpo tok bukukan saja cerpen hok akak wat ni dalam bentuk novel?

    BalasPadam

Kasi Laju Sket..