Khamis, 5 Mac 2015

Aira : Bab 1

Semenjak petang semalam, hujan turun tidak berhenti. Kadang-kadang agak lebat terutama sekitar tengah malam, tapi pagi tadi hanya renyai-renyai sahaja dan berhenti sekitar pukul 7.00 pagi. Semenjak petang semalam juga Aira gelisah di pembaringan. Sekejap dia berpusing ke kiri dan ke kanan, kadang-kadang dia meluruskan badannya dan kemudian tidur memeluk lututnya. Ada waktunya dia bangun menyandar tubuhnya di kepala katil dan kemudia dia meluruskan semula badannya ke atas tilam empuk bercadar kuning air warna kegemaranya.  Semenjak dari pukul 2.00 pagi lagi setelah dia terjaga disebabkan oleh gangguan telefon, Aira tidak mampu lagi melelapkan matanya. Dia memandang ke arah jam di tepi katilnya. Oh! Sudah pukul 8.15 pagi rupanya. Dan dalam jangkamasa 6 jam lebih juga matanya terkebil-kebil seperti cicak berak kapur. Pelbagai usaha dilakukan agar dapat  melelapkan mata untuk seketika tetapi tidak berjaya. Kenapalah susah sangat ni. Nak dikatakan dia sudah cukup tidur tidak juga kerana dia masih menguap berkali-kali.
“Abang hanya mengharapkan satu sahaja dari Aira iaitu  maafkan abang dan kembalilah pada abang.” Suara itu terus berdengung di telinganya. Masih jelas ditelinganya rayuan Ikmal dicorong telefon.
Tapi hatinya menjadi beku. Beku sebekunya. Hatinya tidak lagi goyah dengan rayuan lelaki itu. Telinganya sudah lali dengan rayuan itu. Dia tidak tahu kenapa dia mampu mendengar sahaja rayuan lelaki itu tanpa sebarang reaksi atau komen dan kemudiannya meletakkan ganggang telefon perlahan-lahan ke induknya.
“Maafkan aku Ikmal !”
Detikan jam yang menunjukkan pukul 10.00 pagi mengejutkan gadis itu dari terus berkhayal. “ Baik aku mandi dan bersarapan dulu,” Dia merancang sendirian. Duduk di katil pun tiada gunanya, membuang masa dan membuatkan fikirannya terkenangkan perkara-perkara yang menyakitkan hatinya. Pantas dia bangun dan menuju ke bilik mandi. Hati-hati dia menolak daun pintu bilik air yang bertutup rapat itu dan menerobos masuk. Dia menghampiri sinki dan membuka paip air. Dia membasahkan wajahnya dengan air dan berkumur. Kemudian merenung cermin di depannya.
“Ooouugh.. buruknya wajah bangun tidur lambat.”  Dia mencapai berus gigi dan mencalitkan dengan sedikit ubat gigi jenama Giffarine dan menyental giginya dengan hati-hati.
Lima minit kemudian dia sudah berada di bawah pancuran air. Selesai mandi dan bersiap Aira menuju ke dapur pula. Pintu peti sejuk dua pintu menjadi sasarannya. Dia mengeluarkan sebotol susu segar.
“Jangan lupa tengok bila tarikh luputnya.” Detik hatinya. Dia kadang-kadang lupa dan barang-barang yang dibelinya biasanya terperuk lama di dalam peti sejuk hinggakan kadang-kadang tamat tempohnya. Aira tidak suka melihat peti sejuknya kosong dan sentiasa memastikan sentiasa terisi dengan apa sahaja makanan kegemarannya. Tapi tinggal sendirian kadang-kadang dia terpaksa berkongsi dengan tong sampah apabila apabila tidak habis dimakan. Membazir tapi masa membeli dia terlupa istilah itu. Seingatnya juga susu segar baru dibeli petang semalam.
Kring... telefon di ruang tamu menjerit nyaring minta diangkat. Siapa pula yang telefon pagi-pagi buta ni? Mengganggu orang nak berehat sahaja. Rungutnya perlahan. Aira meletakkan semula gelas susu ke atas meja. Biskut kering yang masih digigitnya dikunyah dan ditelan rakus.
“Hello..”
“Hello Aira,..”
Lelaki ni lagi..! Rungutnya dalam hati.
“Excuse me Mr Ikmal. Tolong jangan ganggu saya pagi-pagi buta ni...!” Dia bersuara kasar.
“Aira, please.. Dengar dulu abang nak cakap ni...”
“ Encik Ikmal ! Sorry.. I’m busy..!” Ganggang dilepaskan ke induknya dengan kasar. 
“Biar padan mukanya. Apa dia ingat hatiku akan berubah. Tidak ! Ini Aira Darvina. Sekeras-keras batu, keras lagi hati Aira ...” detik hatinya geram. Dia berlalu ke dapur. Niatnya untuk menyambung sarapan secawan susu terganggu lagi apabila telefon berbunyi lagi. Dia cuba memekak teliganya dan dengan bersahaja dia dia duduk di kerusi dan meneguk susu. Hampir lima kali si pemanggil itu mendail tapi Aira hanya memekakkan telinganya.
Selesai bersarapan Aira menuju ke kamarnya. Sekali lagi langkahnya terhenti apabila telefon berdering lagi. Dia cuba menutup telinganya tetapi hatinya tidak tahan dengan deringan yang berlarutan itu. Dengan perasaan yang membara terbakar dia mengangkatnya.
“Aira, please..! I’m sorry. Back to me. I need you..”
Klik..! Ganggang terus diletakkan. Hatinya panas mendengar rayuan itu. Aira laju meninggalkan meja telefon menuju ke kamarnya.  Bila dia hendak membuka pintu , loceng pintu pula berbunyi. Siapa pula yang datang. Dia bertanya sendirian. Aira membetulkan gaun mandinya dan mengesat rambutnya yang separas bahu itu.
Melalui lubang kunci dia mengintai keluar. Seorang lelaki berpakaian t’shirt putih dan berseluar jeans biru membelakangi pintu. Izlankah? Tekanya di dalam hati. Pintu dibuka malas.
“ Abang..!” Panggilnya lembut. Apabila lelaki itu berpaling, dia hampir terduduk . Cepat-cepat dia menutup daun pintu tapi tubuh sasa lelaki itu berjaya menghalangnya.
“Please Aira..! Benarkan abang masuk ,” rayu lelaki itu. Tanpa keizinan lelaki itu berjaya meloloskan diri. Aira berundur ke belakang. Terasa ingin menjerit, meraung dan menangis melihat lelaki yang berdiri di depannya itu. Lelaki itu juga dengan pantas menutup pintu dan menguncinya. Kemudian lelaki itu berpaling kepada Aira. Matanya merenung tajam ke arah Aira yang masih memakai gaun mandi yang singkat itu.
“Aira.. tolonglah ! Berilah abang peluang..” Dia terus mara. Aira berundur ke belakang. Hatinya penuh kekalutan. Dia tersepit kini di antara lelaki itu dan sofa kuning di belakangnya.
“Aira.. Maafkan abang. Dengar dulu.. “ Ikmal terus menghampiri Aira dan semakin mara.
“Aira , maafkan abang. Abang tau abang salah. Maafkan kesilapan abang selama ini..” Ikmal terus merayu. Ada kekesalan di wajahnya. Aira terkedu. Dia diam membisu. Matanya liar memerhati pergerakan lelaki itu. Ketakutan. Tangannya meraba dinding di belakangnya.
“Aira.. selama ini abang silap di dalam menilai intan atau kaca. Abang berdosa pada Aira..” rintih lelaki itu lagi. Perlahan-lahan dia menjatuhkan lututnya dan menekur lantai. Aira serba salah. Tangannya menggigil. Di birai mata lelaki itu ada air jernih yang mengalir. Sayu. Persis seorang banduan yang menanti hukuman dijatuhkan ke atasnya. Lelaki itu tertunduk. Dia merayu, berlagu sendu. Keangkuhannya selama ini memang telah lenyap. Egonya sebagai seorang lelaki telah tiada.
Puas dirayu dan memujuk Aira tapi hati wanita itu yang terluka tidak dapat memaafinya. Akhirnya Aira juga terduduk pilu di kerusi. Perlahan-lahan air mata mengalir juga di pipinya. Dia membiarkan sahaja tangan Ikmal yang cuba meraih genggamannya.
“Maafkan abang Aira. Maafkan abang dan kembalilah semula kepada abang. Abang benar-benar perlukan Aira. Abang berjanji dan abang bersumpah tidak akan mensia-siakan Aira lagi..”
Aira menggeleng-geleangkan kepalanya. Tidak sanggup rasanya mendengar rayuan Ikmal. Hatinya semakin lembut tapi mengenangkan layanan Ikmal padanya selama ini dia menjadi benci. Terasa ingin ditolak badan lelaki di depannya itu. Biar tersungkur tapi...
Pelukan Ikmal yang erat itu disambutnya hambar. Dia persis patung tidak bernyawa. Kaku tiada aksi dan tindak balas. Dia membiarkan sahaja Ikmal menangis dibahunya. Merintih, merayu, meminta simpati, menyesali peristiwa lalu.
Sehingga Ikmal meninggalkan apartmen sewaannya, Aira tidak memberi kata putus. Dia membiarkan sahaja Ikmal berlalu dengan perasaan maha kecewa. Berdosakah aku? Dia bermonolog sendirian.

Hari itu seharian dia memerap di kamarnya. Fikirannya benar-benar rungsing memikirkan kedatangan Ikmal. Salahkah tindakan aku ini ? Ikmal.. aku terlalu kecewa dengan sikapmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kasi Laju Sket..