Ahad, 15 Mac 2015

Aira : Bab 3

Sudah dua hari Aira berada di Kota Raya ini. Sudah dua hari juga Aira terpisah dengan abah, umi dan keluarga di kampung. Selama dua hari ini juga Aira menjadi seorang penunggu setia di kamar bilik atas apartmen milik keluarga Izzati. Mereka tinggal di situ berempat bersama seorang pembantu rumah warga Indonesia. Pembantu itulah yang menghantar makanan ke bilik Aira dan Izzati.
Aira tidak mengenali sangat abang Izati. Lelaki itu hanya mengangguk dan menjelingnya sepintas lalu semasa berjumpa di meja makan. Oush...! Sombong ! Getus hati Aira.
Lelaki itu tidak memandangnya pun semasa Izzati memperkenalkan temannya itu kepada abangnya.
“Okey, you boleh tinggal di sini sebab you kawan Izzati.” Sepatah sahaja bicara lelaki itu ketika Izati memperkenalkan Aira kepada abangnya. Selepas itu lelaki itu terus berlalu meninggalkan meja makan dan keluar.
“Abang aku memang macam tu. Jarang lekat di rumah. Jangan risaulah. Dia okey ,” terang Izati sambil meneguk minuman coklat yang dibuat oleh Tini, pembantu rumah.
Aira pada mulanya tidak selesa juga kerana memikirkan tuan rumah tidak berapa suka kedatangannya. Tetapi layanan dari Izati dan pembantu yang peramah membuat dia dapat menyesuaikan diri. Setiap hari Izati keluar dan meninggalkan Aira sendirian bersama Tini. Mujurlah ada Tini yang boleh menjadi teman berbualnya.
“ Kau rehat seminggu dua ni. Nanti lepas ni aku bawak kau jumpa makcik aku. Dia dah setuju nak ambil kau bekerja kat butik dia,” terang Izati semasa dia menemani Aira menonton televisyen pada suatu malam. Dia baru sahaja balik dari keluar bersama teman lelakinya. Aira mengangguk bersetuju. Terubat juga hatinya mendengar janji Izati.
“Cik Izati, besok Tini mau keluar pergi jalan-jalan. Boleh Tini ajak Cik Aira sama. Kasian dong asyik makan tidur saja. Boringkan Cik Aira...”
Lucu juga Aira apabila mendengar orang gaji yang berlebihan pula bersuara. Bukan Izati tidak mengajak Aira keluar tetapi Aira enggan kerana di saat ini dia masih berduka dengan peristiwa yang menimpanya. Seminggu bersama Tini, Aira amat menyukai pembantu yang periang dan sangat peramah. Dia pandai menghiburkan hati Aira dengan cerita dan nasihatnya.
“Tini belajar tinggi juga. Ada ijazah bidang Pharmacy tapi enggak mau kerja di sana. Gajinya kecik aje. Jadi orang gaji di sini lagi mahal dong .” Tini membuka ceritanya. Aira tidak tahu sama ada hendak mempercayai atau tidak. Tini memang lincah. Dia mengajar Aira dari segi berpakaian dan belajar mekap.
“ Cik Zati bagi mekap kit ni untuk Tini. Mahal ni katanya... hahaha..” Aira amat sukakan cara Tini yang bersahaja. Cara ketawanya, cara dia bercerita amat menyenangkan. Aira hairan juga kerana Tini bekerja sebagai pembantu rumah bukan seperti mengikut kelulusan seperti yang diceritakan. Adakah Tini membohonginya, Aira tidak jelas. Apabila bercerita berkaitan ubatan, Tini seolah amat arif dan sebab itulah Aira amat yakin Tini tidak bercakap bohong.
“Sorrylah Aira, aku tak boleh temankan. Esok aku ada appointmen penting. Balak aku tu nak bawak aku pergi tempat dia kerja.”
“Balak Cik Zati bagus tau cik Aira. Suka tolong orang. Tolong anak yatim. Buat kebajikan...” Seperti biasa Tini yang mendahului Izati apabila bercerita. Izati hanya tersengih-sengih dengan gelagat pembantu rumahnya itu.
“ Tini ni bukan setakat pembantu rumah aje. Dia ni merangkap PA aku. Dia bukan setakat pandai jaga rumah tapi pandai masak, buat kek, pandai lah serba serbi..” tokok Izati pula. Tini semakin ceria dan galak aksinya. Aira cuba mencongak. Tini memberitahu usianya sekarang 22 tahun bermaksud bezanya dengan Aira dan Izati hanya 5 tahun. Wajah Tini awet muda. Berkat mengamalkan jamu. Kata Tini apabila Aira bertanya semasa mereka berbual sebelum ini. Tini kelihatan sebaya dengan mereka berdua dan pastinya sikapnya juga mencerminkan tingkahlakunya persis si manis 17.
“ Aku masuk tidurlah dulu Aira. Tini.. Korang berdua tak mengantukkah?” Tanya Izati sambil berlalu ke kamarnya.
“ Aku pun nak tidurlah...” jawab Aira dan mengikuti langkah Izati dari belakang.
“Cik Aira, besok jadi ya kita keluar berlibur...” seru Tini melaung sedikit kuat. Aira tersenyum dengan gelagat gila-gila Tini.
“ Kalau kau layan minah indon tu kau pun akan jadi biol seperti dia ,” tegur Izati sambil melangkah ke bilik air. Aira hanya tersenyum mendengar omelan Izati. Dia duduk di meja solek sementara menunggu giliran Izati di bilik air. Aira sudah biasa mencuci muka, gosok gigi dan berwuduk sebelum tidur.
Aira membelek wajahnya. Dia amat berbangga dengan wajahnya yang licin mulus. Walaupun kulitnya tidak secerah Izati tetapi dia tergolong di dalam kumpulan berkulit kuning langsat. Warna kulitnya menarik . Itu kata Izlan. Ah! Bila menyebut nama Izlan hatinya bagai dicarik-carik.
Aku mesti belajar lupakan Izlan. Lupakan dia. Lupakan dia. Bisik hati Aira. Dia menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan.
Aira cuba mengingati perkara lain. Wajah-wajah lain. Dia cuba membayangkan wajah keluarganya tetapi hanya sepintas lalu.
Tiba-tiba dia terpandangkan foto Izati bersama keluarganya di atas meja solek itu.
Izati kelihatan sangat gembira di peluk oleh bapanya dan abangnya di tengah. Mata Aira cuba merenung wajah abang Izati. Aira ingat-ingat lupa nama abang Izati. Shawn kalau tak silap pendengarannya. Lelaki itu agak menarik juga pada pandangan Aira. Rambutnya sedikit berombak dan di potong pendek. Kulitnya sawo matang dan dia mempunyai sepasang mata yang agak tajam dan bercahaya tetapi tenungannya redup romantis. Menarik. Cetus hati Aira. Aira suka melihat alis matanya yang sedikit garang tapi renungan matanya bersinar syahdu. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Aira cuba membandingkan lelaki itu dengan Izlan. Ternyata berbeza dari segi warna kulit. Izlan berkulit putih cerah dan sedikit tinggi berbanding Shawn. Tetapi Izlan sedikit kurus dan kelihatan tinggi.
“ Abang aku masih belajar. Makwenya Jepun...” Aira teringat perbualannya dengan Izati berkaitan abangnya itu.
“ Cik Aira jangan tanya pasal Encik Shawn. Tini tak berani...” Memek muka Tini mencerminkan dia tidak bersedia bercerita berkenaan lelaki itu.
“ Tini bisa bilang dia baik. Itu aja ,” jelas Tini lagi. Selepas itu dia bercerita perkara lain pula.
Esok dia akan cuba keluar bersama Tini. Dia tidak tahu hendak ke mana tetapi dia ketawa apabila Tini memberitahu mereka akan berjalan kaki dan mungkin balik dengan teksi.
Suara Izati menyanyi kecil keluar dari bilik air mengejutkan Aira dari terus berkhayal. Aira mencapai tuala dan masuk ke menolak pintu bilik air.


Petang itu Tini menghantar Aira pulang dengan selamat ke rumah. Sepanjang hari itu dia membawa  Aira keluar berjalan sehingga ke Chow Kit. Aira tidak pasti apa yang istimewanya tempat itu.Tini kelihatan seperti biasa dengan suasana tempat itu. Dia bertegur sapa dengan beberapa peniaga di situ. Beberapa kenalan senegaranya menegur ramah.
Selepas itu Tini membawa Aira ke Dataran Merdeka. Aira hanya duduk bersantai di bawah pokok besar mengadap jam besar bangunan Sultan Abdul Samad. Tini membelikan minuman dan makanan ringan sambil mengalas surat khabar. Mereka duduk lepak di situ melepaskan penat kaki. Beberapa orang pemuda mengusik dan menegur mereka tetapi jawapan Tini menarik perhatiannya.
“ Usah di layan Cik. Dia orang saja mengusik kita tu,” ujar Tini sambil ketawa kecil . Aira perhatikan Tini adalah seorang yang berdisiplin juga. Kulit kacang yang dimakan di isi ke dalam plastik bekas makanan dan di kumpulnya kemudian dia membuangnya ke dalam tong sampah yang berdekatan.
Sejam bersantai di Dataran Merdeka, mereka menapak pula ke Kelab Sultan Sulaiman. Berjalan melihat bunga dan mengejar rerama. Penat di situ barulah Tini mengajak Aira bertapak lagi. Setengah jam kemudian mereka berpeleseran di Jalan Tunku Abdul Rahman. Masuk ke kedai keluar kedai sehingga jam hampir jam 5.00 petang mereka berebut teksi pula dengan pekerja yang baru balik kerja. Aira rasa seronok juga kerana dapat keluar dengan Tini hari itu.
Tini menghantar Aira sehingga ke pintu rumah. Pintu di bukanya dengan kunci pendua yang dimilikinya.
Rumah itu sunyi sepi tanpa penghuni. Izati atau abangnya masih belum pulang.
“Cik Aira masuk dulu. Tini ada kerja belum selesai. Rehat ya. Kunci rumah tau. Jangan risau semua orang ada kunci...” ujar Tini sambil menghulur bungkusan makanan. Mereka singgah beli makanan di Pasar Malam tadi.
Aira menyambut plastik makanan tersebut dan membawanya masuk ke dalam rumah. Aira meletakkan makanan ke atas meja di dapur.
Tini sudah menghilang keluar. Tini juga sudah berpesan agar Aira menikmati makanan sendirian kerana dia mungkin balik lewat.
Terbit kehairanan juga dengan gelagat isi rumah itu. Izati dengan kerja amalnya bersama teman lelakinya. Shawn pula jarang lekat di rumah. Semenjak Aira menetap di sini dia hanya bersua muka dua kali sahaja dengan Shawn. Tini pula katanya pembantu rumah tetapi dia bebas keluar masuk rumah ini seolah-olah dia pula tuan rumah. Papa Izati Uncle Ishak pula hanya sekali berjumpa semasa Aira mula-mula sampai ke sini dengan Izati. Uncle Ishak yang menjemput mereka di stesen bas. Papa Izati adalah seorang usahawan yang berjaya dan mempunyai gelaran tetapi Aira amat hormatkan lelaki itu kerana sifatnya yang tidak sombong.
Aira menghabiskan waktu malam itu dengan menonton televisyen bersendirian. Cerita ‘Top Gun’ lakonan Tom Cruise menarik perhatiannya. Dia teringatkan Izlan. Izlan amat meminati Tom Cruise. Aira juga minat Tom Cruise sebab pelakon itu kacak. Lain-lain Aira tidak pasti lagi. Ah! Itulah gadis muda sepertinya.
Aira menikmati makan malamnya bersendirian. Tini dan penghuni rumah yang lain belum pulang. Aira memanaskan air untuk membancuh milo. Aira keluar ke ruang rehat untuk mengambil cawan kosong yang ditinggalkan di meja menonton tv tadi.
Pintu rumahnya di buka dari luar. Aira terkejut melihat Shawn muncul bersama seorang perempuan. Mungkinkah perempuan itu kekasih Jepunnya. Aira segera melarikan diri ke dapur bersama cawan kosong miliknya. Dadanya berdebar melihat renungan mata Shawn dan lirikan jelingan tajam sepasang mata sepet milik temanita Shawn. Dia tidak berani bertegur sapa dengan pasangan itu.
Aira terus masuk ke kamarnya. Kedudukan kamar Izati yang didiaminya bersebelahan bilik Shawn membuatnya hatinya tidak tenteram. Dia dapat mendengar jelas pintu bilik Shawn di tutup kasar. Berdentum. Hampir tercabut jantung Aira mendengarnya.
Suasana kembali sunyi sepi. Aira berbaring di katil sambil mengeluarkan diari miliknya. Sudah beberapa hari dia tidak mencoretkan kisah dan luahan hatinya di dada diari. Diari berwarna pink biru ini dihadiahkan oleh Izlan semasa ulangtahunnya ke 15 tahun dan bermakna sudah dua tahun dia memiliki diari itu. Aira terus hanyut dengan dunianya. Lagu Bayangan Duka dendangan Penyanyi Nasir Wahab menemaninya malam itu sambil tangannya lincah mencoretkan di atas dada diari miliknya.
Aira menjeling jam di dinding yang menunjukkan pukul 10.30 malam.
Tiba-tiba ketenangan itu terganggu. Suasana hingar bingar. Kekecohan kedengaran dari bilik sebelah. Aira terkejut mendengaran suara perempuan berteriak di dalam bahasa yang Aira tidak fahami. Aira bangkit dari katil. Dia cuba mengintai melalui lubang pintunya. Dia membatalkan niatnya untuk membuka pintu apabila melihat perempuan yang datang bersama Shawn itu berlari keluar dari bilik itu dan keadaan di situ kembali tenang. Bunyi dentuman pintu dihempas seketika meluruhkan hati Aira. Dia mengurut dadanya perlahan-lahan. Begaduh agarnya melihat keadaan perempuan itu yang berlari keluar dan suara yang bising.
Manalah Tini dengan Izati ni. Cepatlah balik. Rintihnya di dalam hati. Saat ini hanya dia dan Shawn sahaja di dalam rumah itu. Aira menghampiri meja belajar dan tanpa disedari dia telah terlanggar cawan milo milknya tadi dan air milo yang telah sejuk itu tertumpah ke atas baju tidurnya. Kaki dan pahanya merasa melekit terkena air milo yang manis itu.
Aira masuk ke kamar mandinya dan dia bercadang untuk mandi sebelum kembali. Aira mengesat meja yang terkena tumpahan milo itu. Dia menyumpah dirinya kerana membawa minuman itu ke biliknya sedangkan dia tidak berhajat sebegitu sebenarnya tadi. Kalaulah Shawn tidak balik tadi dia tidak perlu berkurung di bilik ini sambil membawa cawan milonya bersama.
Aira mengesat air di rambutnya dengan tuala. Ketika dia keluar dari bilik air sekali lagi dia mendengar kekecohan di luar biliknya. Aira menggeleng kepalanya. Bingung juga dengan situasi malam ini.
Dia mendengar suara beberapa lelaki di keluar biliknya. Dia ingin mengintai melalui lubang kunci tetapi ketukan di pintu biliknya mengecutkan hatinya. Dia berundur ke belakang.
“ Buka pintu ini...” Berdentum pintu biliknya di ketuk. Aira serba salah. Dia masih lagi mengelap wajah dan  rambutnya yang basah dengan tuala. Kain batik yang dipakainya diikat ketat.
Apabila ketukan ketiga diiringi oleh suara Shawn yang berteriak kasar, Aira membuka pintu biliknya.
Sekali lagi dia terkejut dan tergaman melihat Shawn yang berseluar pendek dan tidak berbaju sedang berdiri di depan biliknya. Wajah Aira ketakutan juga apabila melihat beberapa lelaki lain sedang merenungnya dengan senyuman sinis.
“Kami terima laporan ada pasangan berada di dalam rumah ini dan laporan itu tepat.”
Aira terdampar di pintu bilik apabila mendengar pertuduhan yang dikenakan kepadanya. Kepalanya rasa pusing menghadapi situasi itu. Terketar-ketar Aira mencari kad pengenalan miliknya dan menyerah kepada salah seorang lelaki itu.
 “ Saya tak kenal dia..” seru Aira takut-takut. Kenyataan itu ditujukan kepada Shawn.
“Kamu tak kenal dia tapi kamu berdua-dua dengan dia dalam rumah ni...” sergah seorang lelaki yang membawa fail biru. Aira menggeleng-geleng kepalanya.
“Kamu didapati berkhalwat dengan lelaki ini dalam rumah ini.”
Tubuh Aira terkulai layu mendengar pertuduhan yang dihadapinya.
 Ya! Allah ! Apa salahku ya Allah.Ampunilah aku...” Rintih Aira di dalam hati.
Air mata Aira tumpah lagi. Dia menangis teresak-esak. Shawn hanya memandangnya dengan pandangan kosong.
Aira dan Shawn di bawa ke balai polis. Aira hanya mampu menangis dan menangis. Dia langsung tidak dapat menjawab persoalan oleh pegawai-pegawai di situ.
Aira terbayangkan keluarganya. Pasti abah dan uminya akan malu dengan berita ini.
Dia juga terbayangkan Izlan. Kalaulah tuduhan ini berlaku kepada dia dengan Izlan, dia redha. Tetapi lelaki ini... Shawn. Dia langsung tidak mengenali peribadi Shawn.
Aira memandang sekeliling dengan mata yang sembab. Air kopi yang dihulurkan oleh seorang pegawai wanita hanya dipandangnya sepi. Aira kesal dengan Shawn yang hanya menyepi dan tidak menafikan pertuduhan yang dihadapi olehnya.
Izati.. mana Izati. Dia perlukan Izati dan Tini. Kemanakah menghilang  temannya itu. Aira kelihatan hampa apabila pegawai wanita itu memberitahu tidak dapat menghubungi Izati.
Aira menjeling ke arah Shawn yang sudah berbaju kemeja dan berseluar jeans. Lelaki itu kelihatan kusut masai sambil tersandar di sofa sambil memejamkan matanya.
Aira terasa amat malu apabila mendengar perbualan pegawai yang terlibat di dalam serbuan itu. Hasil penemuan bahan bukti di bilik Shawn iaitu condom yang baru digunakan amat memalukan Aira. Ini fitnah. Jerit hati Aira.
“Kami tidak jumpa perempuan lain selain mereka berdua di dalam rumah itu. Si perempuan pula baru lepas mandi...” Jelas seorang pegawai itu. Aira sakit hati mengaitkan penemuan dan siasatan itu namun dia tersepit. Temanita Shawn juga tidak dapat dihubungi.
Aira semakin malu apabila semasa dia di bawa keluar dari bilik itu setelah dijamin oleh Uncle Ishak ayah Shawn, beberapa orang wartawan telah dapat menangkap fotonya dan Shawn. Aira semakin malu.
Hampir jam 3.00 pagi barulah Aira dihantar pulang oleh Ayah Shawn. Tini pula menunggu di rumah. Apabila melihat kemunculan Aira pembantu rumah itu terus memeluk Aira.
“Sabar Cik Aira. Sabar ya..” pujuk Tini sambil memimpin Aira ke biliknya.
Aira langsung tidak boleh lena sehingga ke pagi. Dia hanya mampu menangis dan menangis sahaja melepaskan kesesakan di dadanya.
Abang ! Tolong Along bang. Along di fitnah bang. Along takut...
Aira hanya tersembam di bantal dengan Tini yang tidak jemu memujuknya.
Aira mengeluh kesal, kalaulah dia bersetuju dengan Izlan mungkin sekarang masalah ini tidak timbul. Sekiranya dia mengikuti Izlan kini tentu dia sudah berada di luar negeri bersama Izlan dan mereka tentu sedang bahagia.
Izlan suami orang Aira. Seru suatu suara.
Benci..! Aira menumbuk bantal. Semua ini kerana Izlan. Kalau dia tidak mengahwini perempuan lain mungkin aku masih setia menunggunya. Benci. Benci. Benci !...
Aira menumbuk bantal sekuat hatinya. Melepaskan amarah yang membara di hatinya.



Aira semakin sebak dan sesak apabila melihat kemunculan Abah dan umi di pintu kamarnya. Wajah abah yang garang mengecutkan hati Aira.
“ Apa along dah buat ni anakku?” tanya Umi sambil memeluk anak gadis tunggalnya itu. Puan Hanim menangis melihat keadaan anak gadisnya itu.
“ Along tak salah umi. Along tak salah..” rintih Aira di dalam pelukan ibunya.  Aira mencurahkan sepenuh perasaanya yang amat terluka dengan peristiwa itu. Abah pula terduduk dengan wajah duka di kerusi. Dia menggeleng kepala bagaikan tidak percaya anak gadis yang baru mengenal dunia itu terjebak sebegini.
“ Sebab itu abah berat hati lepaskan along datang ke KL ni...” keluh abah sambil menanggalkan songkok di kepalanya ke atas meja. 
Malam itu Uncle Ishak, abah dan umi berbincang panjang. Uncle Ishak menunjukkan keratan akhbar yang menunjukkan wajah Aira, Shawn dan dirinya yang terpampang di dada akhbar atas peristiwa semalam. Nama baiknya sebagai seorang usahawan berjaya kini telah tercemar. Dia memberitahu mereka dia tidak menyalahkan Aira. Dia tahu Aira tidak salah. Tetapi surat khabar itulah melaporkan perkara yang salah. Ianya tidak dapat ditarik balik kerana berita itu telah tersebar le seluruh negara. Bahkan kenalannya ramai telah menghubunginya dan bertanyakan pasal berita itu. Memanglah berita buruk cepat aje tersebar.
 Beberapa orang saudara mara Uncle Ishak juga datang menjenguk muka dan memberi pendapat. Aira amat malu apabila bertemu mata dengan Auntie Maria dan Uncle Didie yang juga merupakan kenalan Uncle Ishak.
“ Sabarlah Along. Auntie faham perasaan Along. Auntie tahu Along anak yang baik. Along tak akan cemarkan nama baik keluarga kita.” Pujuk Auntie Maria sambil membelai rambut Aira. Umi hanya tersandar lesu di kepala katil. Wajah umi juga sembab sebab sedih dengan peristiwa yang tidak disangkakan.
Auntie Maria terus memberi kata semangat dan sokongan dan nasihat kepada Aira. Dia faham sebagai seorang ibu yang menyayangi Aira seperti anaknya sendiri.
Perbincangan kedua belah pihak dilakukan. Permuafakatan dicapai. Pasangan itu harus segera dinikahkan demi nama baik kedua belah pihak dan reputasi keluarga Shawn terutamanya.
Akhirnya Aira terkedu lagi. Dia bertempik enggan mendengar penerangan oleh abah dan Uncle Didie. Dia meronta-ronta dan membaling apa sahaja barang di depannya dan enggan mendengar nasihat orang tuanya.
“ Along nak abang Izlan. Along hendak dia sahaja. Along tak mahu lelaki lain...!” Jerit Aira seakan histeria.
Abah hilang sabar. Tubuh Aira terdampar di kaki katil menerima penampar abah pertama kali dalam hidupnya. Umi menjerit kecil melihat situasi itu. Uncle Didie memeluk abah menghalang abangnya itu dari terus memukul Aira.
“Kamu mesti kahwin dengan anak Uncle Ishak. Kalau tidak kamu bukan anak abah lagi...!” Jerkah abah nyaring sambil berlalu meninggalkan bilik itu.
“Along...!” rintih umi sambil memeluk Aira. Auntie Maria juga memeluk kedua beranak itu.
Dan rentetan peristiwa itu sahlah Aira menjadi isteri Shawn dalam usia 17 tahun. Usia yang dianggapnya terlalu muda untuk menggalas bahu sebagai seorang isteri. Aira rasa seperti tidak mahu meneruskan hidupnya lagi apabila menghadapi situasi itu. Musnahlah harapan dan impiannya selama ini. Dia punya cita-cita yang ingin dibuktikan kepada Izlan yang masih lagi bergelar tunangannya.
“ Along mesti sembunyikan berita ini daripada Izzi ya...” Pinta Auntie Maria.

Aira mengangguk lesu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kasi Laju Sket..