Jumaat, 27 Julai 2012

Cerpen: Sue..Tega Kuhadapi Realiti Ini Part 6


===========================0===================================
            Ketika dia membuka matanya, kepalany terasa begitu berat. Berdenyut-denyut. Tubuhnya terasa begitu lemah. Tulang-tulangnya terasa sakit.
“ Jangan bergerak nak..” Suara seorang perempuan menepis cuping telinganya. Di mana aku? Dia cuba mengangkat kepalanya tetapi terasa begitu berat. Pandangannya masih terasa samar-samar dan berpusing-pusing. Kenapa dengan aku? Dia cuba memerah ingatan tetapi tiada satu pun yang yang diingatinya.
Untuk kedua kalinya dia tidak sedarkan diri lagi. Tidak berjaya mengingati apa yang berlaku dan tidak tahu kenapa dengan dirinya. Adakah bermimpi atau reality.
“Bagaimana keadaan dirinya?” Suara seorang perempuan lain kedengaran sayup-sayup di telinganya. Seakan bermimpi.
“Tadi dah sedar tapi pengsan semula,” jawab satu suara lagi. Sedikit demi sedikit pandangannya semakin jelas.
“Kau kenal ke pemuda ini Ryzal?” Suara lelaki tiba-tiba kedengaran.
“Ya, pakcik. Zek namanya,” jawab suara lain.
“Zek sahaja ke? Anak siapa?” Tanya suara lelaki tua itu lagi.
“Entahlah! Saya sendiri baru kenal. Saya agak tentu Sue kenal dia ni,” ujar suara yang disapa Ryzal itu. Sue ? Sue? Di mana Sue? Ingatannya terkenangkan nama Sue.
“Sue ke mana?” Tanya lelaki tua itu.
“Hantar Dr.Harun. Sekejap lagi baliklah. Nanti Ngah tanyalah Sue perihal pemuda ini. Dia kenal gamaknya..” sampuk satu suara perempuan dan kemudian terbatuk-batuk. Zekry hanya mendengar sahaja. Matanya tertutup rapat. Sue..! Ya, Sue.. dia mengharapkan Sue akan berada di sisinya.
“Mak Yah, tadi Sue pesan dia nak ke Bandar dulu dengan Abang Mat. Agaknya lewat balik,” beritahu suara seorang gadis muda.
Sue.. cepatlah balik. Kenapa dengan aku ini Sue? Tolonglah aku Sue. Kasihanilah aku. Hatinya terus menjerit memanggil nama Sue. Kepalanya berdenyut sakit. Badannya terasa ngilu dan sakit-sakit. Entah kali ke berapa dia terlena lagi. Tidak sedarkan diri.
Apabila dia sedar untuk kali seterusnya, matanya begitu berat. Namun digagahi untuk membuka kelopak matanya. Keadaan disekelilingnya sunyi sepi. Hanya sekali-sekala dia mendengar bunyi pinggan mangkuk berlaga di dapur agaknya. Dia cuba menggagahi dirinya untuk bangun tapi tidak berdaya.
Beberapa detik kemudian dia melihat bayangan seseorang melintasi kepalanya. Suara seorang perempuan menepis hujung telinganya.
“Sue, kau dah sembahyang maghrib ke?”
“Belum lagi mak. Kejap lagi..!” jawab suara yang lebih muda. Sue kah itu?
“Jangan di lengah Sue. Banyak lagi ke kerja tu?”
“Sikit aje mak. Ni Sue letak beras atas dapur. Mak tolong tengoklah ya. Sue nak pergi ambil air sembahyang dulu..”
“Hem.. Pergilah..!”
Suara kedua-dua orang perempuan itu hilang. Di ganti oleh bunyi baldi berlaga dan kemudian suasana kembali senyap sunyi.
“Oh ! Anak dah sedar ke?” Suara seorang perempuan tua menyapu cuping telinganya. Dia cuba mengerdipkan matanya beberapa kali. Bayangan seorang perempuan separuh usia berdiri di hujung kakinya. Penglihatannya masih kabur. Mulutnya terkumat-kumit mengatakan sesuatu tetapi tidak kedengaran. Perempuan itu menghampirinya.
“Berehatlah dulu..!” Nasihat perempuan itu.
“Me.. me..mengapa saya di sini makcik..? Saya kat mana ni?” Dalam kepayahan akhirnya dia Berjaya menuturkan bicara itu.
“Anak di rumah makcik. Nama makcik Mak Yah. Petang tadi kau kemalangan,” cerita perempuan itu.
“Kemalangan..?” Otaknya mula ligat berfikir. Tapi kosong. Tiada satu pun ingatannya kepada peristiwa itu.
“Ya, mujurlah Sue yang Nampak kau. Dialah juga mengajak orang kampung membawa kau ke sini. Sue jugak yang pergi menjemput  Dr Harun. Maaflah kami tak bawa kau ke hospital sebab hospital jauh dari sini. Lagipun anak janganlah bimbang. Kau hanyalah luka ringan sahaja..” jelas perempuan yang membahasakan dirinya Mak Yah itu.
“Jangan dibiarkan dia bergerak mak. Doktor pesan, dia kena berehat sepanjang mala mini..”tegur seorang gadis.
“Sue..?” hatinya berdetak. Dia cuba mengangkat kepala tetapi terjatuh kembali dan terasa berdenyut-denyut.
“Berehatlah dulu, makcik nak ke dapur..” Mak Yah pun berlalu. Tinggallah Zekri terkebil-kebil kesorangan. Hatinya berbunga riang. Sue yang menolongnya. Mengapa? Adakah gadis itu masih menyayanginya? Hatinya tertanya-tanya dan dia kembali terlena.
Alunan bacaan ayat suci Al-Quran menusuk telinganya. Suara Suekah itu? Merdu dan gemersik. Hatinya mula berlagu hiba. Pilunya mendengar bacaan itu. Terasa diri benar-benar jahil. Bacaan itu menyentuh hatinya. Rupanya Sue sudah jauh berubah. Dirinya kini lebih bersih dan suci tapi dia.. patutlah Sue tidak mahu menerimanya kembali. Mengenangkan dirinya yang kotor, hina dan keji terasa seakan jarum menusuk ke hati. Ngeri.. Oh! Tuhan, ampunilah aku.
Terkenangkan ketika zaman kanak-kanaknya. Dia dan Sue berkawan rapat. Bermain bersama, pergi sekolah bersama dan mengaji Al-Quran di rumah Ustaz Ismail pun bersama. Setelah dewasa dan sama-sama berada di pusat pengajian tinggi.. dia berjaya begitu juga Sue. Baja kasih yang disemai semenjak kecil hingga remaja akhirnya membuahkan cinta. Mereka menjadi pasangan kekasih. Bahagia bersama. Namun panas tidak berpanjangan, akhirnya hujan jua di tengah hari. Kehadiran seorang gadis yang lebih cantik dan lincah membuat hati lelakinya goyah dan beralih arah. Dia curang dibelakang Sue tapi selama mana rahsia itu dapat disembunyikan akhirnya terburai jua. Sue sendiri melihat dia bercumbu dengan gadis itu di rumah sewanya. Tapi sue tidak cepat melatah. Dia cuba menasihatinya. Apabila mendapati Sue tidak mengambil endah dengan perbuatannya dia mula membuka langkah lebih panjang. Ketampanannya, rupa dan kedudukan yang dimiliki membuat dia lupa daratan. Memikat dan menggoda wanita lain sehingga Sue diabaikannya. Sue menasihatinya tapi dia menuduh Sue cemburu. Lantas perpisahan dipinta. Sue menangis mendengar ucapannya dan semenjak itu dia tidak berjumpa lagi dengan Sue. Menurut keluarga angkatnya Sue menghilangkan diri dan tidak mahu diganggu. Ketiadaan Sue menyenangkannya tapi…….
Khayalannya terputus bila derapan langkah terhenti di sisinya. Dia cuba berpaling ke sisinya tapi tidak Berjaya. Sebiji pinggan diletakkan berdekatan.
“Encik hendak makan?” Suara Sue menepis cuping telinganya.
Encik? Kenapa dengan Sue? Aku Zek.. Zekri.. Suaranya tenggelam di halkum.
“Sue… Zek dahaga,”
“Kejap ya. Biar Sue bantu Zek minum,” Suara Sue lemah-lembut kedengaran di cuping telinganya. Perlahan-lahan tangan lembut Sue, melingkari kepalanya dan diangkat lalu disandarkan dengan bantal. Berkerut wajah Zekri apabila Sue melepaskan tangannya.
“Sakitlah Sue,” rintihnya mengaduh.
“Oh! Maafkan Sue…!” Sue segera mengangkat sekali lagi kepalanya dan terus menarik bantal lalu dipangku kepala Zekri dengan lembut. Zekri tersenyum. Sungguh baik, hati Sue. Pujinya diam.
“Macam mana? Okey tak?” Tanya Sue.
“Emm..”
“Kalau begitu biar Sue suapkan Zek makan ya.”
Zekri tersenyum riang. Senang hatinya apabila dilayan sebegitu oleh Sue. Terimbau kenangan lalu. Zekri makan dengan berselera. Matanya tidak berkedip memandang wajah Sue. Terasa ingin dipeluk cium wajah manis itu. Hampir separuh pinggan nasi di makannya.
“Macam mana Zek?”
“Cukup Sue, Zek dah kenyang,”
Selesai menyuapnya makan, Sue mengelap pula tubuh Zekri.  Hampir sejam Sue melayani Zekri yang kelihatan semakin bersemangat.
Selepas solat Isyak, Ryzal mengunjungi rumah Sue. Zekri hanya mendengar sahaja dari jauh perbualan Sue dan Mak Yah dengan pemuda itu. Dari percakapan mereka dia boleh mengagak Sue begitu mesra dan rapat dengan Ryzal. Pemuda itu mengusik Sue dan Sue sendiri tidak henti ketawa mendengar omongan Ryzal.
“Amacam.. kekasih hati sudah ada di sisi..” ayat itu terputus di situ sahaja apabila kedengaran tepukan pukulan tangan yang kuat di iringi suara Ryzal mengaduh. Zekri tersenyum sendirian. Adakah dirinya yang menjadi bualan?
Malam itu Ryzal, Pak Ngah dan Abang Mat tidur di rumah Sue menjaga Zekri. Keperihatinan mereka amat menyentuh hati Zekri.

2 ulasan:

  1. wahh..best2..tak sabar ak tengok yang seterusnya..ada beberapa persoalan yang sedang di tunggu. Apa yang akan berlaku nanti? betul ke sue tak kenal zek? Dapat ke sue terima zek semula? Tu rasa nak baca lagi.

    Cuma nak tanya satu soalan. Mak sue tak kenal zek ke? sebab ada ayat yang mengatakan sue dan zek berkawan sejak kecil?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Apa yang akan berlaku nanti? betul ke sue tak kenal zek? Dapat ke sue terima zek semula? Mak Sue tak kenal Zek Ke? Memang ada ayat yang mengatakan Sue dan Zek berkawan sejak kecil ... Hahahahaha... sukanya.. sabar..sabar.. baca sampai ending..

      Dah baca Cerpen Milikku jua? Apa komennya? Yang tu dah tamat dah.. klu lum baca check post yg lama ya.. komen sikit ye..

      Padam

Kasi Laju Sket..