Rabu, 1 Mei 2013

Coretan Petang Rabu

Kesibukan dengan aktiviti seharian menyebabkan aku terlupa dengan blog ini. Rupanya sudah lama aku tidak berkunjung berkongsi idea dan secebis kisah di sini. Terima kasih untuk pengunjung yang masih setia singgah dan meninggalkan jejak di sini.
Setiap hari banyak peristiwa yang berlaku dalam kehidupanku. Banyak kisah suka dan duka dengan pelbagai ragam yang tidak tertulis untuk aku coretkan di sini. Setelah dua minggu aku berkurung dan berkursus banyak peristiwa dan rutin kehidupanku berubah dan beralih arah. Dua minggu satu jangka masa yang lama tidak bersua dengan keluarga dan teman-teman akrab menyebabkan aku menjadi sedikit ralat juga kerana banyak benda yang telah aku tertinggal dan janji-janji yang tidak tertunai.
Sekarang ni musim Pilihanraya ke-13 hangat di sana sini. Pagi tadi aku dikerah ke Majlis Perasmian berdekatan tempat tinggalku. Petang ini aku menerima banyak panggilan telefon dari teman-teman dan saudara rapat apabila foto yang aku upload di FB seakan menjadi isu pula untuk mereka. Maaf aku buat apa yang aku perlu lakukan. Syukurlah tiada komen-komen yang menakutkan aku di FB aku itu walhal panggilan telefon dan SMS yang aku terima bermacam-macam persoalan... Akhirnya waktu ini selepas solat asar aku berteleku seketika memikirkan situasi yang ku alami sepanjang kehidupanku ini. ..


Kadang-kadang aku jadi ralat atas penerimaan saudara maraku apabila pilihanku dan jaringan hidupku tidak sama dengan apa yang mereka harapkan. Aku perlu keluar dari kepompong dan kongkongan ini. Tapi bagaimana? Setelah 16 tahun aku merantau dan kembali aku ke kampung halaman rupanya satu kesilapan untukku. Banyak perkara yang aku perlu tukar dan bina tapi tempias dari titisan hujan rupanya mampu membasahkan dan meresahkan perasaanku. Adakah hijrah aku ini satu kesilapan? Aku cuba bina kehidupan baru tapi sembilu yang kutempuhi sesungguhnya amat menyakitkan kakiku. Walaupun semangatku kuat untuk mengharungi sendirian dan cuba memenangi banyak pihak tapi di sudut hatiku banyak kekecewaan yang aku hadapi. Ikhlas aku katakan tempat lamaku lebih baik dari di sini. Bukan aku tidak cuba untuk bersaing dengan mereka-mereka di sini tapi anasir luar yang di hadapi amat sukar untuk aku terima. Kampungku juga jauh berubah. Walaupun dominasi penduduk kampungku terhadap satu parti politik tidak pernah berubah dan begitu utuh tetapi pembaharuan dan pembawaan yang di bawa oleh mereka ini ternyata berbeza dengan garapan yang diterapkan oleh datuk-nenekku. Generasi kampungku hari ini semakin agresif. Itu pada firasat  walaupun berbeza pandangan parti politik , surau di kampungku masih di penuhi oleh jemaah yang ramai. Tetapi semenjak generasi arwah pakcik-pakcikku meninggal tiada lagi yang mampu membela atas dasar 'kita sekeluarga satu kampung'. Hari ini suara-suara sumbang berlegar-legar di setiap pelusuk kampung. Sekiranya mereka terbaca coretan aku di sini aku pasti ada sengketa baru yang akan bertunas pula. Aku perhatikan juga musim pilihan raya ini bagus juga pabila surau di kampungku mula dikunjungi jemaah. Sebelum ini beberapa orang cuba menghidupkan suasana zaman 80-an di waktu arwah pakcik-pakcikku masih ada, tetapi setiap hari kunjungan semakin berkurangan. Ada orang Thailand yang berkerja di kebun-kebun getah di kampungku cuba menghidupkan suara setelah diminta oleh orang kampung tetapi ianya hanya bertahan seketika sahaja. Penduduk di kampungku amat dahagakan ilmu agama dan solat berjemaah di surau. Aku pernah juga mengikuti solat di surau. Apa yang aku dapati selain dari mengimankan solat dia juga membuka dan membaca kitab-kitab agama. Tiada langsung diselit pasal politik maklumlah dia datang dari Thailand. Namun sambutan penduduk semakin hari semakin berkurangan.  Kebelakangan ini ada iman dari pondok-pondok pengajian mula masuk, satu petanda yang baik. Tetapi desas desus yang aku terima ceramah agama diselang seli dengan ceramah politik. Biasalah musim pilihan raya dah dekat.Akhirnya aku mampu mengeluh sahaja.
Jangan tanya apa yang aku undi dan pangkah pada 5hb Mei 2013 nanti. Itu rahsia. Ini negara Demokrasi. Undi adalah hak milik aku. Aku punya sukalah nak pangkah apapun. Tapi sekiranya sesiapa yang mengenali suamiku jawapanku aku undi apa yang suami aku undi...

Abah dan bondaku juga tidak dapat menghalang aku untuk aku pangkah parti mana nanti. Aku punya sukalah.

Aku tutup cerita petang ini dengan secawan minuman coklat Cadbury.. Woit segarnya dapat coklat panas petang-petang gini. Jangan marah ya kerana coretan aku akan bersambung nanti tapi bila? Aku pun tak tahu hanya Allah yang mengetahuinya...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kasi Laju Sket..